KUALA LUMPUR, 17 NOV: Situasi banjir di Selangor dan Perak semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 2,231 orang setakat 5 petang ini, berbanding 2,387 orang pagi tadi.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor menurun kepada 1,111 orang daripada 295 keluarga petang ini berbanding 1,167 orang daripada 313 keluarga pagi tadi yang ditempatkan di enam PPS.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS SK Dato' Maharaja Lela menempatkan mangsa paling ramai iaitu 352 orang, diikuti SK Parit Mahang (337), SRA Bukit Kuching (186), KAFA Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (113), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (97) dan SRA Batu 8 Ijok (26).
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial berkongsi kejadian banjir kilat di sekitar Shah Alam dan Klang susulan hujan lebat petang ini, termasuk kawasan tol Kota Kemuning menghala ke Klang yang turut menyebabkan kesesakan lalu lintas serta sekitar i-City.
Di Perak, jumlah mangsa di lima daerah terjejas menurun kepada 1,120 melibatkan 408 keluarga berbanding 1,220 orang melibatkan 445 keluarga pagi tadi yang berlindung di 11 PPS.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan daerah Kampar menempatkan 23 mangsa daripada sembilan keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Bharu.
Daerah Larut Matang dan Selama mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 776 orang daripada 296 keluarga yang ditempatkan di lima PPS, diikuti Manjung dengan 129 mangsa daripada 37 keluarga di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Serai dan Hilir Perak (117 mangsa daripada 38 keluarga).
Sementara itu, jumlah mangsa di Kerian kekal 75 orang daripada 28 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Bukit Merah dan Dewan Serbaguna Gunung Semanggol.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan dan ribut petir di semua daerah di Perak pada petang dan malam ini.









