Banjir: PPS SK Parit Mahang kekal dibuka, 346 mangsa masih berlindung

18 Nov 2026, 9:57 AM
Banjir: PPS SK Parit Mahang kekal dibuka, 346 mangsa masih berlindung

KUALA SELANGOR, 18 NOV: Seramai 346 mangsa daripada 86 keluarga masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang yang dibuka sejak 5 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata pihak berkuasa belum bercadang menutup PPS berkenaan meskipun paras air mula surut kerana pemantauan masih perlu dilakukan bagi mengelakkan banjir berulang.

Menurutnya, pemantauan terutama pada setiap petang tertumpu kepada keadaan hujan dan keupayaan sistem perparitan di sekitar Parit Mahang menampung aliran air.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan ditemui media di Pusat Pemindahan Sementara SK Parit Mahang Kuala Selangor pada 18 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Walaupun paras air sudah mula surut, kita belum bercadang menutup PPS ini kerana perlu memastikan sistem perparitan mampu menampung aliran air supaya tidak melimpah semula ke kediaman penduduk.

“Atas faktor keselamatan, kita meminta penduduk terus kekal di PPS sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika ditemui Media Selangor di SK Parit Mahang, Ijok, hari ini.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat mangsa banjir mangsa banjir di PPS berkenaan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyerahkan sumbangan baucar RM500 kepada mangsa banjir ketika menyantuni mereka di Pusat Pemindahan Sementara SK Parit Mahang Kuala Selangor pada 18 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Mohd Raiz berkata, banjir yang melanda kawasan itu berpunca daripada sistem perparitan yang dinaiki air sehingga menyebabkan kediaman penduduk terjejas.

PPS SK Parit Mahang merupakan antara tujuh PPS di daerah Kuala Selangor yang masih beroperasi bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.