Paip gas: Petronas perhalusi cadangan laluan baharu untuk empat keluarga

3 Sep 2026, 2:00 AM
Paip gas: Petronas perhalusi cadangan laluan baharu untuk empat keluarga

SHAH ALAM, 3 SEPT: Cadangan mewujudkan laluan masuk baharu bagi empat keluarga di Jalan Sellathevan, Seksyen 36 di sini sedang diteliti susulan penutupan akses sedia ada yang melibatkan zon penampan paip gas bawah tanah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr Gunaraj George berkata beberapa cadangan penyelesaian dibincangkan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Petronas dan Pejabat Tanah bagi membantu penduduk terbabit mendapatkan akses ke kediaman mereka.

Menurutnya, empat keluarga berkenaan sudah menetap di kawasan itu sejak sekian lama, namun isu akses timbul selepas kawasan berhampiran jajaran paip gas dikenal pasti dan ditutup atas faktor keselamatan.

“Kita faham penutupan ini dibuat atas faktor keselamatan kerana melibatkan paip gas, tetapi pada masa yang sama empat keluarga ini perlu mempunyai laluan yang selamat dan munasabah untuk keluar masuk ke rumah mereka.

“Kita akan cuba cari jalan penyelesaian bersama MBSA dan Petronas supaya isu ini dapat diselesaikan secara berhemah dengan mengambil kira keselamatan serta keperluan empat keluarga yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan serta perbincangan bersama MBSA, Petronas, Pejabat Tanah dan wakil penduduk bagi meneliti keadaan sebenar kawasan terbabit, di sini baru-baru ini.

ADN Sentosa Dr Gunaraj George meninjau lokasi akses baharu yang dibenarkan Petronas untuk kegunaan empat keluarga di Jalan Sellathevan, Seksyen 36, Shah Alam pada 28 Ogos 2026. Foto ZAKI RAHIM/MEDIA SELANGOR

Gunaraj berkata antara cadangan yang sedang diteliti ialah penggunaan laluan sepanjang kira-kira 30 meter berhampiran zon penampan paip gas sebelum akses diteruskan melalui tanah milik penduduk sendiri.

Bagaimanapun, katanya, cadangan berkenaan masih dalam peringkat perbincangan dan memerlukan penelitian serta persetujuan pihak berkaitan sebelum dapat dilaksanakan.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan kita berharap penyelesaian ini dapat membantu penduduk mendapatkan akses yang lebih selamat dan munasabah ke kediaman mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Gunaraj meminta penduduk terbabit mematuhi arahan keselamatan Petronas, khususnya larangan penggunaan laluan berkenaan oleh kenderaan berat melebihi 10 tan sementara proses penyelesaian dilaksanakan.

Katanya, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan sebarang laluan yang digunakan berhampiran jajaran paip gas tidak menjejaskan keselamatan infrastruktur berkenaan serta penduduk setempat.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.