KLANG, 23 OGOS: Penganjuran program permotoran bukan sahaja menjadi ruang menghimpunkan golongan belia dan peminat motosikal, malah berupaya menyemai semangat kebersamaan menerusi aktiviti kebajikan dalam komuniti.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr Gunaraj George berkata pendekatan itu selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri menerusi RS-2 yang memberi penekanan terhadap pembangunan sukan permotoran di Selangor.
"Bukan senang untuk mengumpul mereka di bawah satu gabungan. Macam yang kita tengok, mereka pun ada tetapkan peraturan dan ikut disiplin.
"Saya percaya inilah cara kita boleh membentuk pemuda dan memberi mereka kesempatan untuk bverkumpul dan belajar antara satu sama lain, bina jaringan perniagaan atau pendidikan dan boleh manfaatkan kelab," katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Sambutan Ulang tahun Kelab Motor Sahabat Royal Enfield (RE Brothers) di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya di sini hari ini.
Tambah beliau, platform berkenaan turut boleh dimanfaatkan Kerajaan Negeri untuk menyampaikan maklumat berkaitan program, insentif dan perkhidmatan yang disediakan kepada golongan belia.
Katanya, pendekatan itu membolehkan kerajaan berhubung dengan ahli persatuan secara lebih tersusun tanpa perlu mencari mereka secara individu.
"Kelab ini ada 600 pemuda ataupun pemilik motor. Apa yang mereka perlukan boleh (disampaikan) melalui persatuan, mereka juga boleh membawa masalah mereka kepada kita atau diperkenaljab insentif dan perkidmatan yang diberi Kerajaan Negeri," katanya.
Pada masa sama, Dr Gunaraj menggalakkan ahli kelab permotoran mengambil peluang menyertai program keusahawanan yang dianjurkan kerajaan, termasuk kemudahan pembiayaan daripada TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Menurut beliau, penganjuran program seperti itu juga membuktikan aktiviti permotoran boleh disertai dengan elemen kebajikan yang memberi manfaat kepada komuniti.
Baucar RM500 kepada lima keluarga serta baucar RM300 kepada 26 murid daripada dua sekolah turut disampaikan oleh persatuan RE Brothers.
Salah seorang penerima, M Osaiyah, 32, berkata dia rasa teruja kerana dapat meringankan beban keluarganya untuk menyediakan keperluan persekolahan anak.
"Saya OKU, kerja besi buruk, isteri pun tak kerja. Dapat wang pun minta dengan orang. Bila dapat baucar, saya senang sikitlah," katanya.
Sementara itu, ibu tunggal, K Punitha, 38, berkata baucar RM300 diterimanya amat bermaka kerana dapat membantu membeli keperluan persekolahan anak-anak.
"Saya ada empat anak jadi baucar ini memang betul-betul bermakna walaupun tak cukup untuk semua. Sekarang barang pun mahal. Harap dapat lagi bantuan," katanya.
Terdahulu, lebih 600 ahli Kelab Motor Sahabat Royal Enfield (RE Brothers) dari seluruh Malaysia menyertai sambutan ulang tahun kedua persatuan berkenaan.
Majlis itu turut meraikan pencapaian salah seorang ahli, Kathiravan yang mengembara secara solo ke 109 negara dalam tempoh 1,223 hari serta menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.









