KAJANG, 16 NOV: Media Selangor berhasrat memanfaatkan kepakaran ahli akademik Universiti Islam Selangor (UIS) menerusi program bual bicara dan perkongsian ilmu bagi memperkukuh kandungan penerbitannya.
Ketua Kluster Perkhidmatan Korporat Media Selangor, Mohd Zulkifli Ismail berkata, kepakaran dimiliki institusi pengajian tinggi mampu memberi nilai tambah kepada organisasi media berkenaan menerusi kerjasama strategik yang dimeterai bersama Fakulti Sains Sosial (FSS) UIS.
“Kita yakin institusi pengajian tinggi mempunyai kepakaran tertentu yang boleh dimanfaatkan oleh Media Selangor,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Media Selangor dengan FSS UIS di sini, hari ini.
Menurutnya, antara bentuk kerjasama yang dirancang ialah menjemput pensyarah dan pakar daripada institusi pengajian tinggi untuk berkongsi pandangan dalam program bual bicara terbitan Media Selangor.
“Selain itu, kita juga mempunyai program seperti bual bicara yang memerlukan pandangan ahli akademik dan pakar daripada institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Media Selangor turut bersedia memberikan input serta pandangan bagi membantu menambah baik saluran YouTube FSS yang dilancarkan pada majlis berkenaan, termasuk dari aspek teknikal dan penerbitan kandungan.
Mohd Zulkifli berkata, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi turut penting bagi mendapatkan bakat baharu yang mempunyai kreativiti serta kemahiran mengendalikan pelbagai format pelaporan dan platform media sosial.
“Bakat baharu inilah yang cuba dicungkil oleh Media Selangor dengan mendekatkan syarikat kepada institusi pengajian tinggi supaya kita dapat memperoleh bakat tersebut,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama strategik itu juga merangkumi pembangunan bakat, latihan industri, peluang kerjaya, perkongsian ilmu dan teknologi serta kepakaran, selaras usaha Media Selangor memperluas jaringan dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.
Mohd Zulkifli berkata, selain kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan, Media Selangor turut melihat peluang menjalinkan hubungan strategik dengan universiti luar negara, khususnya di rantau ASEAN termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand.
Beliau berkata, minat kerjasama itu turut ditunjukkan Universitas Andalas dari Padang, Indonesia yang mengadakan kunjungan ke Media Selangor baru-baru ini membabitkan kira-kira 30 pensyarah dan pelajar, selain menyatakan minat terhadap perkongsian bahan serta peluang latihan industri di organisasi berkenaan.











