Ambulans Kita Selangor bantu pesakit jimat kos hingga ribuan ringgit

22 Jul 2026, 3:00 AM
Ambulans Kita Selangor bantu pesakit jimat kos hingga ribuan ringgit
Ambulans Kita Selangor bantu pesakit jimat kos hingga ribuan ringgit

SHAH ALAM, 22 JULAI: Program Ambulans Kita Selangor (AKS) fasa kedua yang dilancarkan pada 15 Julai 2026 membantu golongan berpendapatan rendah menjimatkan kos perkhidmatan ambulans bukan kecemasan sehingga ribuan ringgit.

Penguasa Negeri (Gerakan) St John Ambulans Malaysia (SJAM) Selangor, Ng Chee Kai berkata sejak dilancarkan pada November tahun lalu hingga Jun 2026, program itu telah mengendalikan 374 kes membabitkan 103 penerima manfaat, termasuk pesakit yang menggunakan perkhidmatan secara berulang.

"Ada antara mereka yang membuat tempahan setiap minggu, malah terdapat pesakit yang telah menggunakan perkhidmatan ini lebih daripada 10 kali," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan itu memberi tumpuan kepada kes bukan kecemasan melibatkan warga emas kurang upaya, pesakit terlantar dan mereka yang memerlukan bekalan oksigen bagi menjalani pemeriksaan rutin, rawatan susulan atau prosedur seperti pengimejan resonans magnetik (MRI) di hospital.

Beliau berkata hanya rakyat Selangor dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan layak memohon, dengan permohonan perlu dikemukakan kepada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berdekatan bagi pengesahan kelayakan sebelum dihubungi pihak ambulans.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menampal pelekat Ambulans Kita Selangor ketika majlis pelancaran perkhidmatan berkenaan di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 7 November 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Kami menggunakan prosedur ini sejak November lalu dan setakat ini tiada masalah. Selepas pusat khidmat masyarakat mengesahkan dokumen, maklumat akan dihantar kepada unit ambulans untuk menghubungi pemohon bagi memaklumkan masa penghantaran," jelasnya.

Chee Kai berkata, bilangan ambulans yang digerakkan bergantung kepada keperluan di sesuatu kawasan, dengan sehingga dua unit disediakan di bandar, manakala sekurang-kurangnya sebuah ambulans beroperasi di kawasan luar bandar.

"Liputan perkhidmatan kami meluas, termasuk dari Selangor ke Kuala Lumpur, Putrajaya, bahkan ke hospital di Perak dan Negeri Sembilan. Rakyat Selangor yang layak boleh memohon perkhidmatan ini ke hospital kerajaan dalam senarai," ujarnya.

Beliau berkata kos perkhidmatan ambulans lazimnya bermula sekitar RM100 dan boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada jarak perjalanan.

"Jika dari utara Selangor ke selatan, kos boleh mencecah ribuan ringgit. Kami pernah membawa pesakit dari Kuala Selangor ke hospital di Kuala Lumpur. Jadi perkhidmatan ini sangat memudahkan dan mampu mengurangkan beban kewangan mereka yang memerlukan," katanya.

Beliau menegaskan hanya penduduk Selangor layak menerima manfaat AKS, manakala permohonan dari kawasan sempadan akan dipertimbangkan mengikut budi bicara Pusat Khidmat Masyarakat ADUN berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.