ad

Belanjawan Selangor 2026: Fokus tindakan susulan selepas Selangor Saring, pemakanan sihat B40

12 Nov 2025, 6:00 AM
Belanjawan Selangor 2026: Fokus tindakan susulan selepas Selangor Saring, pemakanan sihat B40

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Selangor disaran memberi tumpuan kepada usaha membentuk masyarakat lebih sihat melalui tindakan susulan selepas pelaksanaan program pemeriksaan kesihatan Selangor Saring, termasuk memperkukuh pendidikan pemakanan dan gaya hidup seimbang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata walaupun ramai rakyat menjalani pemeriksaan dan mengetahui tahap kesihatan masing-masing, tindakan susulan serta bimbingan selepas saringan masih kurang diberi perhatian.

“Kita sering melihat laporan tentang kekurangan doktor dan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia.

"Oleh itu, kesedaran penjagaan kesihatan awam perlu dipertingkat, dengan penekanan terhadap gaya hidup aktif serta pemakanan sihat,” jelasnya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri memperuntukkan dana mencukupi bagi melaksanakan program kesihatan komuniti termasuk Selangor Saring di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, namun pendekatan susulan perlu diperhebat.

Menjelang pembentangan Belanjawan Selangor 2026 pada 14 November ini, Yi Wei turut mencadangkan agar program pemakanan sihat khusus untuk golongan B40 diperkenalkan sebagai langkah pencegahan awal masalah kesihatan dalam komuniti.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Ada penduduk yang mengetahui mereka mempunyai masalah kolesterol tinggi selepas saringan, namun tiada bimbingan lanjut untuk mengawal keadaan tersebut. Kita perlu menyediakan sokongan susulan agar mereka benar-benar dapat memperbaiki tahap kesihatan,” katanya.

Program Selangor Saring yang dilancarkan pada 2022, membantu rakyat mengesan masalah kesihatan sejak awal terutama bagi mereka yang berisiko tinggi seperti obesiti dan sejarah penyakit keluarga.

Sementara itu, Yi Wei turut menegur keadaan jalan serta lampu jalan diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR) yang didakwa tidak memuaskan akibat kekurangan peruntukan.

“Di kawasan saya, lampu jalan di laluan menuju ke kawasan perindustrian Jalan 227 dari Shah Alam ke Petaling Jaya sudah lama tidak berfungsi.

"Setiap kali saya rujuk kepada JKR Petaling, jawapan yang diterima ialah peruntukan tidak mencukupi atau telah habis digunakan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan dan Negeri menambah peruntukan penyelenggaraan kepada JKR, selain meningkatkan peruntukan pembangunan sukan negeri yang kini sekitar RM8 juta setahun.

“Tahun depan, Selangor akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026. Kita berharap peruntukan sukan dapat ditambah bagi memastikan kejayaan penganjuran serta pembangunan bakat sukan negeri,” katanya sambil menambah pasukan ragbi wanita Selangor antara yang berpotensi menyumbang pingat emas.