SHAH ALAM, 18 NOV: Tiga daerah di Selangor dijangka berdepan risiko banjir mulai jam 4 petang ini hingga 11.59 malam Sabtu susulan keadaan paras air sungai yang berpotensi meningkat.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaklumkan kawasan terlibat ialah Sepang, Kuala Langat dan Gombak, khususnya kawasan rendah serta lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas banjir.
Menurutnya, ramalan itu dibuat berdasarkan analisis data hidrologi dan model ramalan banjir yang dijalankan pada jam 10 pagi tadi.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan,” menurut kenyataan amaran yang dikeluarkan pada 12.30 tengah hari ini.
Di Sepang, kawasan berisiko melibatkan lokasi rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Lembangan Sungai Langat, khususnya Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut dan Persimpangan FT29/FT32.
Bagi Kuala Langat, kawasan yang dikenal pasti ialah Jalan Perepat, Taman Dato’ Hormat dan Kampung Sri Cheeding, termasuk sekitar Jalan Bukit Kecil serta Jalan Desa 6 Kemandol.
Sementara itu, di Gombak, amaran melibatkan kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Lembangan Sungai Selangor, termasuk Kampung Cempedak, Kuang, Pekan Rawang, Jalan Maxwell dan Taman Rahmat Jaya.
JPS menasihatkan penduduk, khususnya di kawasan berisiko, supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap kemungkinan banjir dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta agensi pengurusan bencana.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi banjir menerusi portal Public InfoBanjir di https://publicinfobanjir.water.gov.my/.








