SHAH ALAM, 14 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Selangor menambah pam bergerak di dua lokasi berisiko banjir bagi meningkatkan keupayaan mengepam air sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Agensi itu memaklumkan, penambahan pam itu membabitkan Comp D (pintu air Ijok) dan Jalan Parit Mahang dengan kapasiti keseluruhan masing-masing meningkat kepada 30 cusec dan 35 cusec.
“Di Comp D, sebuah pam tambahan berkapasiti 20 cusec dipasang pada semalam (13 November), menjadikan jumlah kapasiti pam di lokasi berkenaan sebanyak 30 cusec.
“Lokasi itu turut dilengkapi kemudahan skru pam di bawah Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 1 yang sedang beroperasi,” katanya di Facebook.
Tambahnya, JPS Kuala Selangor turut selesai memasang sebuah lagi pam berkapasiti 10 cusec di Jalan Parit Mahang hari ini (14 November), sekali gus meningkatkan keseluruhan kapasiti pam di lokasi berkenaan kepada 35 cusec.
“Ini merupakan tindakan segera JPS Daerah Kuala Selangor bagi mengurangkan impak MTL,” katanya.
Pada 9 November, JPS Selangor memaklumkan sebanyak 150 unit pam bergerak kini direkodkan ditempatkan di seluruh Selangor, terdiri daripada 119 unit milik negeri dan 31 unit Persekutuan bagi memperkukuh kesiapsiagaan di lokasi berisiko setakat 6 November 2026.
Menurutnya, JPS Selangor memaklumkan pihaknya terus mempergiat usaha mengurangkan risiko banjir menerusi pelaksanaan projek RTB, kerja pengorekan sungai dan penambahbaikan sistem saliran di kawasan berisiko.








