Skuad PANTAS MPKj pertaruh nyawa demi mangsa bah

10 Okt 2026, 4:00 AM
Skuad PANTAS MPKj pertaruh nyawa demi mangsa bah
Skuad PANTAS MPKj pertaruh nyawa demi mangsa bah

Arus semakin deras, paras air terus meningkat, manakala di seberang sungai seorang warga emas masih menunggu untuk diselamatkan.

Di hadapan Shamsul Omar ketika itu hanya ada dua pilihan, meneruskan perjalanan menggunakan bot berenjin kecil atau berundur dan menyerahkan operasi kepada pasukan dengan aset lebih sesuai.

Bagi anggota penyelamat, keinginan membantu mangsa sentiasa ada. Namun, pengalaman mengajarnya betapa keberanian sahaja tidak cukup apabila nyawa anggota dan mangsa menjadi pertaruhan.

Peristiwa banjir besar di Batu 10, Jalan Cheras pada 2021 itu masih segar dalam ingatan lelaki berusia 57 tahun itu, selepas bertahun-tahun menyertai operasi menyelamat bersama Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Ketika itu, pasukannya menerima panggilan kecemasan beberapa kediaman dinaiki air sehingga menyebabkan penghuni terperangkap di tingkat satu.

Antara yang perlu dibawa keluar adalah wanita berusia lingkungan 70-an yang lumpuh dan tidak mampu menaiki bot sendiri.

“Sampai di lokasi, kita tak tahu keadaan mangsa dan ingatkan semua mangsa normal. Dia tak boleh naik bot sendiri, jadi kita terpaksa letak atas kerusi, angkat dan dudukkan atas bot baru boleh bawa keluar dan hantar ke pusat pemindahan,” katanya.

Selesai membawa wanita itu ke tempat selamat, pasukannya menerima satu lagi permintaan untuk menyelamatkan warga emas di seberang sungai. Namun, keadaan kali ini berbeza.

Arus yang semakin kuat menyebabkan Shamsul menilai kemampuan bot dengan enjin 15 kuasa kuda yang digunakan sebelum membuat keputusan tidak meneruskan perjalanan.

“Saya tak berani nak harung arus itu sebab arusnya tengah naik.

“Saya terpaksa tangguh dan hubungi bomba ambil alih tugas menyelamat. Saya kena fikir keselamatan saya dan anggota, kalau saya pergi kebarangkalian saya akan hanyut atau berlaku kemalangan sangat tinggi,” katanya.

Anggota Skuad PANTAS, Shamsul Omar ketika temu bual bersama Media Selangor di Ibu Pejabat Majlsi Perbandaran Kajang (MPKj) pada 17 September 2026 Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Keputusan berundur meninggalkan rasa terkilan, namun Shamsul sedar tugas menyelamat bukan bermakna anggota perlu mengambil risiko di luar kemampuan.

“Sebagai anggota pantas, saya juga kena nilai situasi sebelum kita lakukan penyelamatan. Sebab dalam prinsip anggota penyelamat, keselamatan diri paling utama.

“Lepas kita ‘secure’ keselamatan diri, baru kita boleh selamatkan mangsa. Kita taknak nanti orang lain yang kena selamatkan penyelamat,” katanya.

Prinsip itu menjadi pegangannya sepanjang bersama Skuad PANTAS yang disertainya sejak penubuhan pasukan berkenaan pada 2013.

Sepanjang tempoh tersebut, Shamsul menyertai pelbagai operasi di kawasan pentadbiran MPKj selain misi bantuan bencana di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Johor.

Setiap operasi memberinya pengalaman berbeza, tetapi kesan bencana terhadap mangsa sentiasa meninggalkan rasa simpati.

“Kita rasa amat simpati sebab musibah menimpa mereka ni semestinya bukan diminta. Bila kita tengok kemusnahan harta benda mereka, kita rasa sedih. Tapi apa boleh buat, perkara yang tidak boleh kita jangka boleh berlaku,” katanya.

Skuad PANTAS memeriksa peralatan menyelamat di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada 17 September 2026 Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Panggilan tidak mengenal waktu

Anggota Skuad PANTAS terdiri daripada pekerja MPKj yang mempunyai tugas hakiki masing-masing. Apabila kecemasan berlaku, mereka perlu bersedia dipanggil untuk membantu.

Ada ketikanya panggilan diterima selepas Shamsul baru tiba di rumah pada lewat malam.

“Kita tak boleh lari daripada melaksanakan apa juga arahan. Kadang kita dah sampai rumah pukul 11 malam ada panggilan (kecemasan) masuk. Kita kena ketepikan waktu lapang kita, kena selesaikan kepentingan awam,” katanya lagi.

Tanpa pengalaman sebagai penyelamat sebelum menyertai pasukan itu, Shamsul membina kemahiran melalui latihan menyelamat di air, mencari dan menyelamat di bawah runtuhan, pertolongan cemas, penyelamatan tempat tinggi, kayak serta skuba.

Latihan itu bukan sahaja menyediakan anggota menghadapi kecemasan, malah mengajar mereka mengenali batas kemampuan sendiri.

Menurut Shamsul, Skuad PANTAS berperanan memberikan bantuan awal berdasarkan kemampuan sebelum operasi diserahkan kepada agensi yang mempunyai kepakaran atau aset lebih sesuai.

“Masyarakat kena tahu tindakan kita hanya beri bantuan awal yang mana kebanyakan yang kita buat untuk kepentingan awam dan untuk membolehkan mangsa rasa lebih selamat,” katanya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.