KDEBWM: Pelan pengindahan kurangkan 70 peratus aduan kebersihan kampung tradisi

27 Jul 2026, 6:00 AM
KDEBWM: Pelan pengindahan kurangkan 70 peratus aduan kebersihan kampung tradisi
KDEBWM: Pelan pengindahan kurangkan 70 peratus aduan kebersihan kampung tradisi

SHAH ALAM, 27 JULAI: Aduan kebersihan di 132 kampung tradisi seluruh negeri berkurang sehingga 70 peratus, beberapa bulan susulan pelaksanaan pelan pengindahan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM).

Pengarah Urusannya Dato' Ramli Mohd Tahir berkata sekitar 100 aduan sebulan diterima di lokasi titik panas sebelum ini, namun berkurang kepada 30 aduan selepas tiga bulan pelan itu dijalankan.

Katanya, keberkesanan inisiatif itu turut dibuktikan menerusi laporan prestasi yang dibentangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), selain disokong maklum balas positif komuniti setempat.

"Maknanya kita berjaya mengurangkan hampir 70 peratus aduan di kawasan yang menerima intervensi," jelasnya kepada Media Selangor.

Menurutnya, program dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama menumpukan kawasan yang merekodkan aduan tertinggi dan kritikal, selain memerlukan penyelesaian segera.

Pengarah Urusan KDEBWM, Dato' Ramli Mohd Tahir bercakap kepada media selepas majlis menandatangan Memorandum Persefahaman antara KDEBWM dan TM Enviro Industries Sdn. Bhd. di KDEBWM, Shah Alam pada 29 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Ramli menjelaskan penambahbaikan dibuat termasuk meningkatkan kekerapan kutipan sampah domestik dan sampah pukal, selain menambah aset seperti tong sampah dan tong Roll-On Roll-Off (Roro).

"Apabila kita tambah frekuensi kutipan dan aset, kita dapat memastikan kawasan lebih bersih serta menguruskan lokasi yang sebelum ini merekodkan aduan yang tinggi," katanya.

Tambahnya, prestasi program akan terus dipantau menggunakan data PBT dan maklum balas penduduk bagi memastikan peruntukan negeri dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebersihan kampung tradisi.

Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan program tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada peningkatan kutipan sampah, sebaliknya memerlukan perubahan sikap masyarakat.

Tegasnya, penduduk perlu melaporkan kegiatan pembuangan sampah haram, membuang sampah mengikut jadual dan mengasingkan sisa di rumah supaya kebersihan kampung kekal dalam jangka panjang.

Lori roll on roll off (roro) khas ini digunakan sepenuhnya untuk mengutip barangan kitar semula seperti plastik, kertas, tin, kadbod dan kotak minuman. Foto KDEB Waste Management (KDEBWM)

"Kita boleh tambah kekerapan kutipan dan aset, tetapi ia bukan penyelesaian untuk selama-lamanya. Kalau masyarakat terus bergantung kepada kerajaan, perbelanjaan untuk mengurus dan melupuskan sampah akan terus meningkat," katanya lagi.

Ramli turut mencadangkan PBT memperketat syarat pelesenan premis komersial seperti dewan dan inap desa di kawasan kampung supaya pengusaha bertanggungjawab menguruskan sisa yang dijana sendiri.

Katanya, pengusaha yang menjana keuntungan perniagaan tidak seharusnya bergantung kepada tong komuniti untuk melupuskan sisa komersial kerana amalan itu membebankan sistem kutipan sedia ada.

"Jika mereka diberikan lesen untuk beroperasi, mereka juga perlu membuktikan keupayaan menguruskan sisa yang dijana, sama ada melalui KDEB, kontraktor atau menyediakan perkhidmatan sendiri.

"Tidak adil jika mereka menjana keuntungan, tetapi mengambil jalan mudah dengan membuang sisa ke tong komuniti dan mengharapkan KDEB menguruskannya hingga ke tapak pelupusan.

"Kalau semua pihak terus berfikiran begitu, usaha menjadikan kampung lebih bersih tidak akan berjaya kerana mereka hanya menghasilkan sampah dan bergantung kepada kemudahan awam untuk menguruskannya," katanya.

Untuk rekod, Selangor memiliki 275 kampung tradisi. Sebanyak RM10 juta diperuntuk bagi menambah baik sistem kutipan sisa pepejal dan meningkatkan tahap kebersihan di kampung berkenaan.

Projek rintis fasa pertama dilaksanakan di beberapa kampung tradisi di Klang, Kajang, Selayang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Subang Jaya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.