Banjir Kota Kemuning: ADN gesa keberkesanan projek mitigasi dinilai semula

17 Nov 2026, 9:22 AM
Banjir Kota Kemuning: ADN gesa keberkesanan projek mitigasi dinilai semula
Banjir Kota Kemuning: ADN gesa keberkesanan projek mitigasi dinilai semula

SHAH ALAM, 17 NOV: Keberkesanan projek mitigasi banjir di sekitar Kota Kemuning perlu dinilai semula susulan kejadian banjir yang kembali menjejaskan beberapa kawasan hari ini.

Ahli Dewan Negerinya (ADN) Preakas Sampunathan berkata kerja pembesaran longkang yang dilaksanakan di Taman Greenville misalnya, masih belum mencukupi apabila air tetap memasuki rumah penduduk.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan keperluan menilai semula langkah mitigasi sedia ada bagi memastikan penyelesaian yang dilaksanakan mampu menangani punca banjir secara menyeluruh.

Beliau berkata antara kawasan yang terjejas termasuk Taman Greenville, Jalan Kebun, Taman Bukit Indah dan Taman Bunga Raya, manakala paras air di Sri Muda turut dilaporkan masih meningkat.

“Walaupun terdapat kerja membesarkan longkang dan beberapa tindakan lain sudah dilaksanakan, air masih memasuki rumah penduduk.

“Ini menunjukkan langkah yang diambil perlu dinilai semula supaya penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar berkesan dan tidak hanya tertumpu lokasi tertentu,” katanya kepada Media Selangor.

Sehubungan itu, Preakas menggesa agensi berkaitan turun padang bagi menilai sendiri keadaan semasa, selain mengenal pasti punca banjir dan merangka penyelesaian bersepadu.

Sementara itu, hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Selangor petang ini menyebabkan kejadian banjir kilat, termasuk di sekitar Seksyen 7 dan i-City, Shah Alam.

Seorang pengguna Threads menerusi akaun @jujue0301_ berkongsi keadaan banjir di sekitar Kemuning, Shah Alam, sambil memberi peringatan kepada orang ramai susulan paras air yang dilaporkan meningkat dengan cepat.

“Hati-hati warga Shah Alam, cepat sangat air naik. Banjir dekat Kemuning,” tulisnya menerusi hantaran tersebut.

Hati2 warga shah alam,cepat sngt air naik. Banjir dekat kemuning

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan enam daerah di Selangor iaitu Sepang, Kuala Langat, Klang, Petaling, Kuala Selangor dan Sabak Bernam sehingga jam 4 petang.

Data JPS menerusi portal Public InfoBanjir pula menunjukkan paras Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang mencecah 3.15 meter pada jam 3.15 petang, melepasi paras bahaya tiga meter.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 56 kawasan panas banjir dikenal pasti di Selangor bagi diberi perhatian melalui pelaksanaan projek mitigasi untuk mengurangkan risiko kejadian berulang.

Belanjawan Selangor 2027 memperuntuk RM36.45 juta bagi pelaksanaan 47 projek tebatan banjir pendekatan serta-merta bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.