SHAH ALAM, 20 JUN: Program Bowling Bersama Bapa 2026 anjuran pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning menjadi platform menghimpunkan golongan bapa bersama keluarga bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan sempena sambutan Hari Bapa.
Program yang berlangsung di Alam Lanes, Shah Alam kelmarin itu mengetengahkan tema ‘Sukan Santai, Ikatan Mesra’ dengan penyertaan bapa dan ahli keluarga dalam suasana santai serta penuh kemesraan.
Wakil rakyatnya, Preakas Sampunathan berkata penganjuran program berkenaan merupakan tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan bapa dalam membentuk keluarga yang sejahtera dan harmoni.
Menurutnya, bapa memainkan peranan penting sebagai pembimbing anak-anak selain menjadi tonggak utama dalam institusi keluarga.
“Bapa memainkan peranan penting sebagai pembimbing anak-anak serta tonggak utama keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata sambutan Hari Bapa merupakan kesempatan terbaik untuk mengiktiraf segala pengorbanan dan usaha yang dicurahkan oleh golongan itu demi kesejahteraan keluarga.
Selain mengeratkan hubungan antara ahli keluarga, program berkenaan turut menjadi medium bagi memperkukuh silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus komited menganjurkan program berteraskan komuniti yang mampu memperkukuh nilai kekeluargaan serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.









