ADN Kota Kemuning teliti pelbagai cadangan atasi isu banjir, trafik

16 Jun 2026, 8:34 AM
ADN Kota Kemuning teliti pelbagai cadangan atasi isu banjir, trafik
ADN Kota Kemuning teliti pelbagai cadangan atasi isu banjir, trafik

SHAH ALAM, 16 JUN: Isu banjir dan kesesakan lalu lintas antara kebimbangan utama penduduk Kota Kemuning apabila perkara itu banyak diutarakan dalam sesi jelajah dan dialog bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning serta Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 13 baru-baru ini.

Wakil rakyatnya S Preakas berkata, pelbagai cadangan jangka pendek dan panjang sedang diteliti bagi menangani kedua-dua isu berkenaan susulan maklum balas yang diterima daripada penduduk.

Menurut beliau, sesi dialog itu memberi ruang kepada masyarakat menyuarakan pandangan serta permasalahan yang dihadapi dalam usaha meningkatkan kualiti hidup di kawasan berkenaan.

“Selain banjir dan lalu lintas, perkara yang dibangkitkan termasuk penyelenggaraan pokok, pengurusan sampah, kebersihan kawasan, lampu jalan, kemudahan awam serta perparitan,” katanya menerusi Facebook.

S Preakas

Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berucap dalam Majlis Generasi Cemerlang SPM 2025 di Dewan Aster, Majlis Bandaraya Shah Alam pada 5 Jun 2026. Foto Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Kemuning

Beliau menjelaskan setiap cadangan dan aduan yang diterima akan diteliti bagi memastikan penyelesaian yang dirancang bersifat praktikal serta berkesan kepada penduduk.

Katanya, langkah penyelesaian juga perlu mengambil kira manfaat jangka panjang supaya isu yang berulang dapat ditangani secara lebih menyeluruh.

Menurut S Preakas, kerjasama erat antara penduduk, wakil rakyat dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan setiap masalah setempat dapat diselesaikan dengan lebih efektif.

Dalam masa sama, beliau menghargai kehadiran penduduk yang meluangkan masa menghadiri sesi dialog dan berkongsi pandangan secara terbuka.

“Kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha membina Kota Kemuning yang lebih selesa, selamat dan mampan untuk didiami,” katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.