MBDK digesa perkasa penyelenggaraan parit, elak risiko banjir kilat

17 Nov 2026, 9:15 AM
MBDK digesa perkasa penyelenggaraan parit, elak risiko banjir kilat

SHAH ALAM, 17 NOV: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) digesa mempertingkat usaha penyelenggaraan sistem perparitan secara berkala bagi memastikan aliran air lancar dan mengurangkan risiko kejadian banjir kilat.

Wakil rakyat Pandamaran, Leong Tuck Chee berkata meskipun kawasan itu tidak lagi berdepan ancaman banjir kilat yang serius, aspek penyelenggaraan sistem perparitan perlu terus diberi perhatian oleh MBDK dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

"Perparitan yang sempurna akan tetap gagal berfungsi jika kerja-kerja penyelenggaraannya diabaikan. Saya telah berulang kali membangkitkan isu ini sejak 2018, namun tiada penambahbaikan ketara dilihat pada jadual penyelenggaraan sehingga hari ini.

"Kelewatan penyambungan kontrak pembersihan parit akibat proses tender yang memakan masa antara enam hingga sembilan bulan menyebabkan rumput di dalam parit membiak bagaikan 'mini hutan'.

"Keadaan ini menyekat aliran air dan mencetuskan semula risiko banjir kilat, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Kita menanti tindakan tegas dan penambahbaikan mekanisme agar kontrak pembersihan dianugerahkan tanpa sebarang kelompongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Selain isu perparitan, Leong turut menggesa MBDK dan Jabatan Kerja Raya memperkemas prosedur operasi standard kerja membaiki jalan berlubang, khususnya di laluan utama dan kawasan perindustrian sekitar Pandamaran serta Pelabuhan Klang.

Katanya, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kerosakan jalan mengancam keselamatan pengguna, terutama penunggang motosikal dan pemandu kenderaan berat.

"Agensi kerajaan tidak harus menunggu aduan baru mahu bertindak sebaliknya inisiatif proaktif melakukan rondaan dan kerja-kerja penambakan serta-merta sewajarnya digerakkan, lebih-lebih lagi ketika musim hujan.

"Selain itu, saya juga mahu MBDK menyediakan peruntukan khas bagi kerja mencantas pokok berikutan keadaan cuaca ekstrem dan ribut kencang.

"Peruntukan ini penting bagi membiayai kerja-kerja pencantasan pokok tua atau berisiko secara berkala demi mengelakkan sebarang musibah," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.