ad

Selangor struktur semula perkhidmatan internet awam, pastikan akses lebih berkesan

20 Nov 2025, 5:04 AM
Selangor struktur semula perkhidmatan internet awam, pastikan akses lebih berkesan
Selangor struktur semula perkhidmatan internet awam, pastikan akses lebih berkesan

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri sedang menstruktur semula pendekatan penyediaan perkhidmatan internet awam menerusi Pelan Digitalisasi Negeri Selangor 2026–2030 bagi memastikan akses lebih berkesan, mampan dan memberi impak maksimum kepada rakyat.

EXCO pembudayaan inovasi berkata selaras proses penilaian semula itu, program WiFi Smart Selangor (WSS) dinyahaktif sementara bagi memberi ruang kepada penyemakan pelan teknikal, penyelarasan semula lokasi dan pelaksanaan model baharu.

Menurut Dr Mohammad Fahmi Ngah, keputusan diambil selepas kajian mendapati tahap penggunaan di kebanyakan lokasi rendah, selain perkembangan pesat rangkaian mudah alih 5G yang menawarkan capaian internet lebih pantas pada kos lebih rendah.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap sempena Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 20 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kajian terperinci sedang dijalankan untuk menilai keperluan, lokasi sesuai serta pendekatan terbaik bagi pelaksanaan semula program ini.

“Penyusunan semula dijangka menjimatkan kos, seterusnya membolehkan dana disalur kepada inisiatif digital lain yang memberi manfaat lebih besar kepada rakyat,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dr Mohammad Fahmi memaklumkan semakan tersebut dilaksanakan di bawah Pelan Digitalisasi Negeri Selangor 2026–2030 melalui inisiatif WiFi Smart Selangor 3.0 (Inisiatif Keterangkuman Digital Negeri).

Jelasnya, pelaksanaan semula akan dibuat secara berfasa, memberi tumpuan kepada kawasan berimpak tinggi seperti kawasan perumahan padat, sekolah, perpustakaan awam dan pusat komuniti.

“Dalam tempoh peralihan ini, PLANMalaysia@Selangor dengan sokongan Smartsel Sdn Bhd melaksanakan program Smart Desa Selangor bagi menyediakan kemudahan internet untuk menyokong aktiviti komuniti serta pusat maklumat desa,” katanya.