SHAH ALAM, 13 OGOS: Sebanyak 1,004 kes demam denggi dengan satu kematian direkodkan di daerah Kuala Langat sehingga 10 Ogos lalu.
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat memaklumkan, berdasarkan situasi semasa sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 31/2026, sebanyak lima lokaliti dikenal pasti sebagai kawasan hotspot denggi.
Pada masa sama, dua lokaliti berstatus wabak tidak terkawal, manakala 14 lokaliti lagi berstatus wabak terkawal.
"Antara kawasan terlibat ialah lokaliti di Banting, Jenjarom, Tanjung Sepat, Telok Panglima Garang dan Sijangkang serta beberapa kawasan sekitar Kuala Langat," menurut PKD Kuala Langat di Facebook.
Susulan situasi itu, PKD Kuala Langat mengingatkan penduduk supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
"Orang ramai disaran meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk menjalankan aktiviti ‘Cari dan Musnah’ di dalam serta sekitar kediaman masing-masing," katanya.
Antara langkah yang disarankan termasuk memeriksa dan menghapuskan bekas yang boleh menakung air, membuang air bertakung, menutup bekas penyimpanan air serta membersihkan longkang dan kawasan persekitaran.
Penduduk turut diminta memastikan tiada tempat berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes bagi membantu memutuskan rantaian penularan denggi.
Maklumat lanjut berkaitan situasi denggi di daerah itu boleh diperoleh dengan menghubungi PKD Kuala Langat di talian 03-3187 2355.









