SHAH ALAM, 17 OGOS: Sebanyak 1,065 kes demam denggi dengan satu kematian direkodkan di Kuala Langat sehingga Minggu Epidemiologi ke-32 (ME32/2026) iaitu setakat hari ini.
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat menerusi Facebook memaklumkan sebanyak 19 lokasi wabak aktif sedang dipantau ketika ini.
“Daripada jumlah tersebut, tiga lokasi dikenal pasti sebagai hotspot, satu lokasi wabak tidak terkawal dan 15 lagi merupakan lokasi wabak terkawal,” maklum PKD Kuala Langat.
Agensi itu turut mengingatkan masyarakat supaya mengambil langkah pencegahan secara berterusan bagi memutuskan rantaian pembiakan nyamuk Aedes.
Orang ramai disaran meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu bagi menjalankan aktiviti cari dan musnah di dalam dan sekitar kediaman masing-masing.
Langkah itu termasuk memeriksa bekas yang berpotensi menakung air, membuang air bertakung serta bekas yang tidak diperlukan dan membersihkan kawasan persekitaran rumah.
“Pastikan bekas simpanan air sentiasa bertutup bagi mengelakkan ia menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.
PKD Kuala Langat turut menyeru kerjasama individu, keluarga dan komuniti untuk memastikan kawasan kediaman kekal bersih, selamat dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Untuk mendapatkan sebarang maklumat atau laporan berkaitan denggi boleh disalurkan kepada PKD Kuala Langat menerusi talian 03-3187 2355.







