Pelajar serang guru guna kapak dihantar ke hospital jalani pemantauan mental

16 Nov 2026, 7:23 AM
Pelajar serang guru guna kapak dihantar ke hospital jalani pemantauan mental

SHAH ALAM, 16 NOV: Mahkamah memerintahkan pelajar lelaki berusia 16 tahun yang didakwa mencederakan guru sekolah menengah swasta menggunakan kapak pada 21 Oktober lalu, dihantar ke Hospital Sentosa di Kuching, selama sebulan bagi menjalani pemantauan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Leona Dominic Mojiliu selepas pelajar tingkatan empat itu dihadapkan ke mahkamah Majistret, di Kuching hari ini, atas tiga pertuduhan berkaitan kejadian terbabit.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan dan mahkamah menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan pertama, pelajar itu didakwa membawa kapak kecil ke dalam bilik darjah, iaitu senjata berjadual mengikut Butiran 7, Jadual Kedua Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap guru wanita berusia 42 tahun menggunakan kapak kecil, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Pertuduhan ketiga pula membabitkan dakwaan memiliki bahan letupan iaitu mercun serta bekas minuman yang diubah suai menjadi bahan letupan sehingga menimbulkan syak wasangka munasabah.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bilik darjah di sekolah menengah swasta berkenaan, kira-kira jam 7.50 pagi 21 Oktober lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Raja Zaizul Faridah bersama Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nur Nisla Abdul Latif dan Abdurrahman Abrar, manakala remaja terbabit diwakili peguam, Wejok Tomik.

Kejadian itu tular di media sosial selepas rakaman seorang pelajar menyerang guru menggunakan kapak di dalam bilik darjah tersebar, menyebabkan guru wanita berkenaan mengalami kecederaan pada tangan kiri sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.