SHAH ALAM, 22 OKT: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang didakwa mencederakan seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak semalam disahkan bukan lagi pelajar aktif institusi berkenaan.
Sekolah terbabit dalam kenyataan memaklumkan remaja itu kini berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, guru yang cedera dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan semakin pulih tanpa mengalami kecederaan kritikal.
“Sekolah amat menghargai keberanian serta ketenangan guru kami ketika insiden itu dan mendoakan pemulihannya berjalan lancar sehingga sembuh sepenuhnya,” menurut kenyataan tersebut, lapor Harian Metro.
Susulan kejadian, pihak sekolah segera mengaktifkan protokol tindak balas kecemasan dengan guru serta kakitangan bertindak pantas menghubungi polis dan perkhidmatan ambulans.
Pelajar dalam kelas yang terjejas mengosongkan kawasan kejadian tanpa sebarang kecederaan lain dilaporkan, manakala sesi persekolahan ditamatkan lebih awal atas nasihat polis sebagai langkah berjaga-jaga.
Sekolah berkenaan dijadual dibuka semula hari ini selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa, dengan langkah keselamatan dipertingkat termasuk penempatan tiga anggota polis bantuan serta pemeriksaan keselamatan di pintu masuk.
Pihak sekolah turut merancang perhimpunan bagi memberikan penjelasan kepada pelajar selain menyediakan sokongan kaunseling serta meneliti langkah keselamatan jangka panjang.
Orang ramai juga diminta tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat belum disahkan dan menghormati privasi pihak terbabit.
Terdahulu, media melaporkan remaja berkenaan sempat membuat rakaman video sebelum insiden seorang guru cuba merampas objek tajam daripadanya.
Rakaman yang didakwa dibuat sebelum kejadian itu turut tersebar di media sosial, namun kandungan dan tujuan sebenar rakaman masih dalam siasatan pihak berkuasa.







