SABAK BERNAM, 6 OKT: Guru Pendidikan Islam perlu memperluas peranan bukan sekadar menyampaikan ilmu agama, sebaliknya turut menjadi pusat dakwah bagi membentuk generasi muda yang mampu menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengajaran berkaitan akidah dan muamalah perlu disertai pembentukan adab serta cara berfikir supaya generasi muda mampu berdepan pelbagai fahaman dan pandangan yang semakin mudah tersebar.
“Guru-guru bukan melihat niat kita memberikan pendidikan, mengajar tentang muamalah, mengajar tentang akidah hanya sekadar pengajaran, tetapi anggaplah ia sebagai satu pusat dakwah.
“Adab yang baik perlu disekalikan dengan cara berfikir. Adab itulah yang sekarang sedang diuji dengan pemikiran ekstrem serta pemikiran dan tindakan yang tidak baik. Dunia pendidikanlah yang wajar mengambil tindakan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian dan Penutupan Program Ijtimak Perdana Guru Pendidikan Islam Peringkat Selangor dan Peluncuran Program Dakwah Negara 2026 di Dewan Seri Bernam di sini, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Dr Hasan Bahrom dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.
Amirudin berkata cabaran terhadap generasi muda kini semakin kompleks apabila pelbagai pandangan berkaitan agama, akidah dan kehidupan dapat disebarkan dengan pantas menerusi media sosial.
“Kalau dahulu mungkin ia tersebar dalam bentuk risalah, ia tersebar dalam bentuk media seperti televisyen, tetapi hari ini setiap saat dan waktu hal-hal itu datang di tangan kita, di tangan anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata kepelbagaian fahaman itu perlu ditangani dengan kefahaman yang betul supaya perbezaan pandangan tidak membawa kepada perpecahan dan permusuhan dalam masyarakat.
Katanya, guru juga perlu memahami punca sesuatu perbezaan atau situasi berlaku supaya pendekatan pendidikan yang diberikan kepada murid bukan sekadar membetulkan kefahaman, malah membantu membentuk pemikiran yang matang.
“Kalau kita tak faham, mungkin kita akan salah. Kita kena faham kenapa perbezaan ini muncul, kenapa situasi ini muncul terlebih dahulu,” katanya.










