Belanjawan 2027: Peruntukan TVET naik kepada RM8 bilion, tumpu kemahiran anak muda

9 Okt 2026, 9:26 AM
Belanjawan 2027: Peruntukan TVET naik kepada RM8 bilion, tumpu kemahiran anak muda

SHAH ALAM, 9 OKT: Putrajaya memperuntukkan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian menerusi Belanjawan 2027, berbanding RM7.9 bilion pada Belanjawan 2026.

“Tumpuan kerajaan adalah untuk meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran dalam kalangan anak muda,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 hari ini

Jelasnya, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan dana RM3 billion akan bagi menawarkan tiga juta peluang latihan kemahiran, termasuk pembangunan profesional berterusan dalam kalangan golongan profesional.

Sementara itu, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan RM500 juta bagi membiayai pelatih yang mengikuti program latihan kemahiran di institut latihan kemahiran awam dan swasta berdaftar dengannya.

“Kolej Komuniti
(akan) terus menawarkan kursus pendek kepada anak tahfiz sebagai laluan ke pekerjaan, keusahawanan dan pengajian tinggi,” tambahnya lagi. 

Menyentuh tentang anggota lain-lain pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tamat perkhidmatan pula, mereka akan ditawarkan latihan kemahiran dengan kerjasama pelbagai institusi termasuk Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) dan Akademi Laut Malaysia.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula akan menempatkan 1,000 orang belia Bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi, malah kemahiran pelatih pendawaian elektrik GiatMara juga akan dimanfaatkan bagi kerja-kerja membaik pulih pendawaian di 20,000 rumah keluarga miskin. 

Selain itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan melatih 10,000 belia dalam bidang teknologi robotik dan digital bagi membuka peluang kerjaya serta mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.

Untuk rekod, pada tahap negeri, Selangor memperuntukkan RM20.48 juta dalam Belanjawan 2026 bagi melaksanakan Program IKTISASS pada tahun ini untuk memperkukuh pendidikan TVET. 

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.