KUALA LUMPUR, 14 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor terus meningkat kepada 1,498 orang daripada 402 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor setakat 8 pagi ini.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), angka itu meningkat berbanding 1,373 mangsa daripada 369 keluarga yang direkodkan pada petang semalam.
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang menempatkan mangsa paling ramai, iaitu 428 orang, diikuti SK Dato' Maharaja Lela (393), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (311), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (123) dan Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (122).
SRA Batu 8 Ijok pula menempatkan 71 mangsa, manakala Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam menempatkan 50 mangsa.
Sementara itu, di Perak, jumlah mangsa banjir di Hilir Perak berkurang kepada 265 orang daripada 74 keluarga, berbanding 274 orang daripada 79 keluarga pada petang semalam.






