Kertas Putih AI Selangor fokus teknologi, pemikiran dan kesiapsiagaan rakyat

15 Nov 2026, 8:39 AM
Kertas Putih AI Selangor fokus teknologi, pemikiran dan kesiapsiagaan rakyat
Kertas Putih AI Selangor fokus teknologi, pemikiran dan kesiapsiagaan rakyat
Kertas Putih AI Selangor fokus teknologi, pemikiran dan kesiapsiagaan rakyat

KLANG, 15 NOV: Kertas Putih Kecerdasan Buatan (AI) Selangor bakal merangkumi hala tuju menyeluruh pembangunan AI negeri, termasuk ekosistem industri, rantaian bekalan, semikonduktor serta pembentukan kerangka pemikiran masyarakat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dokumen itu bukan hanya memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi AI, tetapi turut mengambil kira keperluan masyarakat untuk memahami, bertindak dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Menurutnya, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah memastikan masyarakat tidak bergantung sepenuhnya kepada AI kerana teknologi itu masih memerlukan input dan pengetahuan manusia.

“AI juga bergantung dengan maklumat, maklumat itu siapa yang isi, maklumat itu diisi oleh manusia.

“Manusia boleh menyempurnakannya dengan pengetahuan yang ada dan juga dengan corak berfikir manusia yang waras.

“Jadi kita akan siapkan fikiran kita bagaimana kita berinteraksi, bertindak, beradaptasi dengan AI termasuk aktiviti pendidikan. Ini antara kerangka yang kita nak bawa dalam kertas putih itu," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Karnival Pendidikan Digital Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Amirudin berkata Kerajaan Selangor dijangka membentangkan kertas putih kecerdasan AI pada Jun 2027 sebagai langkah memperkukuh penggunaan teknologi berkenaan dalam pentadbiran negeri dan kehidupan masyarakat.

Katanya AI bakal menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri memandangkan perkembangan teknologi itu tidak boleh ditolak, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara optimum.

Menurutnya, pendekatan terbaik adalah dengan memahami serta menyesuaikan penggunaan AI bagi membantu memudahkan urusan harian, bukannya melihat teknologi berkenaan sebagai ancaman.

Melalui Belanjawan Selangor 2027, seramai 50,000 rakyat negeri ini bakal menikmati akses kepada aplikasi AI Gemini selama setahun, termasuk pakej latihan secara dalam talian dan bersemuka.

Menerusinya Kerajaan Negeri memperuntukkan RM12 juta bagi melaksanakan inisiatif itu dengan kerjasama Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Google.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.