ad
AGENSI

Kertas putih AI beri manfaat jangka panjang kepada semua pihak

18 Nov 2024, 2:00 PM
Kertas putih AI beri manfaat jangka panjang kepada semua pihak

SHAH ALAM, 18 NOV: Keputusan Selangor mengemukakan kertas putih kecerdasan buatan (AI) bakal memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kotak Sakti, Erhan Azrai berkata pembangunan AI wajar diteruskan bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam era teknologi moden dunia.

“Apabila ada pelaburan dari luar untuk bina sistem data di sini, ia sebenarnya beri manfaat kepada kita, khususnya kepada Kerajaan Selangor.

“Ini kerana, Selangor ada ramai bakat, universiti, kilang, bank dan sebagainya. Kerjasama ini akan bantu pembangunan bakat dan seterusnya amat baik kepada keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam program bual bicara Hai Selangor yang disiarkan menerusi TV Selangor, hari ini.

Erhan menambah, jumlah RM5 juta yang diperuntukan Kerajaan Negeri bagi pembangunan AI sebenarnya masih kecil berbanding negara lain yang sedang mengembangkan teknologi berkenaan.

Namun, jelasnya, Selangor berpeluang memanfaatkan peruntukan berkenaan bagi mewujudkan garis panduan khas dan pembangunan bakat dalam teknologi AI.

“Di luar negara, mereka sediakan berbilion wang kerana teknologi AI ini amat mahal. Saya juga harap suatu hari nanti kita ada kebolehan untuk hasilkan AI sendiri supaya kita dapat bebas sebagai satu negara,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2025, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor menyedia peruntukan RM5 juta bagi merealisasi inisiatif AI membabitkan pembangunan Pusat Inkubator AI dan Inisiatif AI Trailblazers.

Selain itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Selangor akan mengemukakan kertas putih AI merangkumi usaha meningkatkan kecekapan khidmat kerajaan dalam sidang Dewan Negeri tahun depan.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=pABhBs1uugU[/embed]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.