Selangor perkukuh penggunaan AI, bentang kertas putih tahun depan

13 Nov 2026, 3:00 AM
Selangor perkukuh penggunaan AI, bentang kertas putih tahun depan
Selangor perkukuh penggunaan AI, bentang kertas putih tahun depan
Selangor perkukuh penggunaan AI, bentang kertas putih tahun depan

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Selangor dijangka membentangkan kertas putih kecerdasan buatan (AI) pada Jun 2027 sebagai langkah memperkukuh penggunaan teknologi berkenaan dalam pentadbiran negeri dan kehidupan masyarakat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, AI bakal menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri memandangkan perkembangan teknologi itu tidak boleh ditolak, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara optimum.

Menurutnya, pendekatan terbaik adalah dengan memahami serta menyesuaikan penggunaan AI bagi membantu memudahkan urusan harian, bukannya melihat teknologi berkenaan sebagai ancaman.

“Kita jangkakan menjelang bulan Jun depan kita akan bentangkan kertas putih AI dan akan ada juga fokus sebab AI ini akan jadi fokus kita. Kita tidak boleh bermusuh dengan AI.

“Kita harus faham kekuatan, kelemahan dan cabaran AI. Jadi kalau kita mampu, hal itu kita boleh lebarkan lagi. Kita sudah mulai teraju AI pafa 2025, disambung tahun ini dan kita akan sambung lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi wawancara khas bersama Media Selangor sempena pembentangan Belanjawan Selangor 2027 yang diadakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut merancang melaksanakan program adaptasi AI dengan kerjasama agensi kerajaan dan sektor pendidikan bagi memberikan pendedahan serta panduan asas mengenai fungsi dan penggunaan teknologi itu.

Katanya, inisiatif berkenaan penting bagi memastikan masyarakat, khususnya warga kerja sektor awam dan golongan pendidik, mempunyai pengetahuan mencukupi untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa penggunaan AI tanpa kawalan dan pemahaman sewajarnya berpotensi membawa kesan negatif kepada masyarakat.

“AI akan memberikan kesan negatif kalau tidak dijaga dengan betul. Persoalannya, bagaimana kita menggunakan kenderaan ataupun alatan itu untuk kemudahan kita,” katanya.

Ogos lalu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sedang membangunkan kertas putih AI Selangor yang akan menggariskan landskap penggunaan teknologi AI secara menyeluruh, termasuk cabaran, kebaikan dan nilai tambah teknologi berkenaan.

Menurut Amirudin, kertas putih AI itu adalah dasar pertama teknologi berkenaan yang dibangunkan Selangor menerusi tiga fasa, iaitu kajian dan penanda aras, proses penyediaan serta pembangunan Digital Government Playbook.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.