KUALA LUMPUR, 15 NOV: Sebanyak 43 anggota daripada pelbagai agensi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, Hulu Selangor, hari ini dengan tumpuan pencarian di sektor C dan D.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata operasi yang bermula pada 8.50 pagi itu melibatkan 26 anggota JBPM dan 17 anggota agensi sokongan.
Beliau berkata kawasan pencarian dibahagikan kepada dua sektor bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan menyeluruh.
"Operasi pagi ini turut melibatkan anggota dan anjing pengesan daripada Unit K9 yang menjalankan pencarian di sektor C bagi mengenal pasti titik atau lokasi berpotensi untuk tindakan pencarian lanjut.
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) seterusnya melaksanakan operasi selaman di kawasan titik pencarian yang dikenal pasti berdasarkan petunjuk daripada Unit K9," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ashrul Riezal berkata pasukan bot turut menjalankan pencarian di permukaan air di kedua-dua sektor, manakala Unit Udara menggunakan sebuah dron bagi membantu operasi dari udara.
Beliau berkata satu lagi kejadian kepala air dilaporkan berlaku di kawasan pencarian pada 1 pagi semalam, sekali gus diambil kira dalam perancangan operasi.
"Kejadian kepala air itu telah diambil kira dalam perancangan operasi, khususnya dari aspek perubahan aliran sungai, keadaan dasar sungai dan risiko keselamatan kepada pasukan penyelamat," katanya.
Ashrul Riezal berkata pergerakan pasukan bagi operasi sebelah petang akan ditentukan berdasarkan penilaian semasa terhadap keadaan cuaca, paras air dan arus sungai bagi memastikan keselamatan semua anggota.
Beliau berkata operasi SAR diteruskan secara bersepadu dengan mengoptimumkan kepakaran serta aset semua agensi terlibat, dengan keutamaan diberikan kepada keberkesanan pencarian dan keselamatan pasukan penyelamat.






