SHAH ALAM, 11 NOV: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu ditangguhkan petang tadi berikutan hujan lebat dan arus deras.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata hujan lebat kira-kira jam 3 petang menyebabkan paras air sungai meningkat semula, sekali gus menyukarkan operasi pencarian.
Ashrul Riezal Asbar menambah operasi dihentikan sementara sebelum disambung semula pada jam 5 petang, namun pencarian di kawasan tebing sungai terpaksa ditangguhkan pada jam 7 malam berikutan arus masih deras.
Operasi membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), dengan pencarian tertumpu di permukaan air serta kawasan tebing sungai.
“Di Sektor B, iaitu dari Lubuk Pertak hingga Jambatan Pertak, pencarian diperincikan di kawasan tebing sungai serta longgokan dan rimbunan pokok.
“Pemantauan di Sektor C pula diteruskan pada waktu malam menggunakan lampu limpah bagi mengesan sebarang objek terapung,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Ashrul berkata operasi pencarian di sungai akan disambung pada jam 7 pagi esok dengan tumpuan di lokasi dikenal pasti di Sektor A, B dan C.
Sektor A meliputi kawasan Lata Jebus hingga Lubuk Pertak, manakala Sektor D membabitkan kawasan Empangan Sungai Selangor yang turut dikenali sebagai Empangan Pertak.
Dalam kejadian Isnin lalu, lapan individu daripada empat kumpulan pengunjung dihanyutkan arus ketika berada di kawasan rekreasi dan perkhemahan Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak.
Lima mangsa ditemukan setakat semalam, manakala tiga lagi masih hilang. Mereka yang ditemukan terdiri daripada seorang rakyat Malaysia, dua warga India serta masing-masing seorang warga Nepal dan Sri Lanka.
Tiga mangsa yang masih dicari pula membabitkan dua warga India dan seorang warga Yaman.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 petang sebelum menggerakkan operasi menyelamat dan pencarian.






