SHAH ALAM, 15 NOV: Belanjawan Selangor 2027 memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, khususnya projek mitigasi banjir bagi menangani keperluan mendesak rakyat susulan cabaran perubahan iklim yang semakin ketara.
EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi berkata pendekatan itu memperlihatkan perancangan menyeluruh Kerajaan Negeri yang bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek kebajikan, malah turut mengutamakan pembangunan kemudahan awam.
Menurutnya, keutamaan terhadap projek infrastruktur termasuk mitigasi banjir, kemudahan sekolah serta masjid dan surau mencerminkan usaha Kerajaan Negeri memenuhi keperluan semasa rakyat.
“Ini satu belanjawan yang sangat komprehensif dan menumpukan lebih kepada infrastruktur di Selangor, khususnya dalam melihat keperluan semasa.
“Kita tidak hanya menumpukan kepada pemberian atau program kebajikan semata-mata, sebaliknya turut memberi perhatian kepada isu yang lebih mendesak iaitu mitigasi banjir,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutupan Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, semalam.
Dalam pada itu, sebagai EXCO Belia, beliau turut menyambut baik inisiatif khusus untuk golongan muda menerusi penyediaan baucar kepada pekerja gig serta pelaksanaan Selangor Programme for Aspiring, Ready and Knowledgeable Talents (SPARK) yang menawarkan elaun RM1,500 sebulan.
Najwan turut menyifatkan kenaikan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kepada RM1,700 sebelum ditingkatkan kepada RM2,000 sebagai langkah penting dalam memperkukuh pendidikan Islam.
“Usaha ini juga memberi pengiktirafan sewajarnya kepada guru KAFA yang memainkan peranan penting dalam pendidikan agama, namun sebelum ini dilihat agak ketinggalan dari segi kebajikan berbanding sektor lain,” katanya.
Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion, merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.







