
SHAH ALAM, 25 OGOS: Kejayaan Selangor menganjurkan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dilihat mampu menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran temasya sukan di peringkat kebangsaan.
EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pendekatan yang digunakan Selangor, khususnya dari aspek pengurusan kewangan dan penggunaan fasiliti sedia ada, boleh dijadikan contoh negeri lain yang bakal menjadi tuan rumah SUKMA.
Menurut beliau, meskipun berdepan kekangan kewangan, Selangor berjaya memastikan temasya berlangsung meriah dengan venue pertandingan menerima sambutan menggalakkan daripada peminat sukan dari seluruh negara.
"Kita bersyukur kerana walaupun berdepan kekangan kewangan, Selangor mempunyai fasiliti sukan yang baik dan bersedia di mana kita hanya perlu menambah baik beberapa fasiliti yang ada.
"Jadi bagi negeri lain, ini mungkin menjadi penanda aras dan mengambil cara penganjuran Selangor sebagai 'template', khususnya dari segi kawalan perbelanjaan.

"Tetapi ada beberapa perkara kita perlu berdepan seperti kemeriahan dengan upacara pembukaan dan penutup dilakukan secara sederhana," katanya kepada Media Selangor.
Dalam perkembangan sama, Mohd Najwan turut melahirkan rasa bangga apabila Kontinjen Selangor mencipta sejarah sebagai kontinjen pertama dalam saingan SUKMA yang berjaya melepasi kutipan 100 pingat emas.
Selangor menamatkan saingan dengan 101 pingat emas, sekali gus mencapai pencapaian membanggakan di laman sendiri.
Kontinjen Selangor membuka tirai kutipan emas menerusi acara bola keranjang 3x3 sebelum skuad Silambam melengkapkan kejayaan dengan emas terakhir hanya beberapa jam sebelum majlis penutupan rasmi.
Pencapaian itu sekali gus melengkapkan penganjuran SUKMA 2026 yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek penganjuran, malah menyaksikan prestasi memberangsangkan kontinjen tuan rumah.











