Setiap PBT perlu wujudkan sukan angkat, sedia infrastruktur berkaitan

11 Sep 2026, 2:00 AM
Setiap PBT perlu wujudkan sukan angkat, sedia infrastruktur berkaitan

SHAH ALAM, 10 SEPT: Usaha memperkasa bakat atlet di Selangor bukan hanya menjadi tanggungjawab Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak bagi membentuk ekosistem sukan yang lebih kukuh.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan dengan mengenal pasti sukan yang berpotensi untuk diketengahkan di kawasan masing-masing, termasuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur berkaitan.

“Setiap PBT angkat satu sukan sebagai anak angkat. Contohnya, Sepang mengangkat silat sebagai sukan anak angkat.

“Bakat anak Selangor bukan sahaja untuk membawa nama negeri, tetapi mereka juga boleh membawa nama daerah masing-masing,” katanya pada sidang media pencapaian atlet Para SUKMA di Dewan Raja Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Najwan berkata pendekatan itu penting bagi memastikan setiap daerah mempunyai kekuatan dan identiti sukan tersendiri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk mengembangkan bakat mereka.

Beliau berkata, tanggapan bahawa bidang sukan tidak memberikan pulangan atau keuntungan secara langsung juga perlu diubah kerana pembangunan sukan merupakan pelaburan jangka panjang terhadap potensi generasi muda.

“Kita mahu mereka menjadi insan yang serba boleh. Aktiviti sukan dan akademik perlu seimbang,” katanya.

Najwan berkata, sokongan berterusan daripada semua pihak termasuk institusi diraja, PBT, ibu bapa dan komuniti amat penting bagi memastikan pembangunan sukan di Selangor dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, pendekatan secara bersama itu bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai atlet muda berpotensi, malah membentuk generasi yang aktif, berdisiplin dan mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.