KUALA LUMPUR, 14 NOV: Malaysia kini berhadapan ribuan percubaan serangan siber setiap bulan, sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan yang lebih pantas dan ampuh, dalam mendepani ancaman pertahanan alaf baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata landskap keselamatan negara, kini tidak lagi tertumpu kepada ancaman ketenteraan konvensional semata-mata, sebaliknya serangan siber, pencerobohan sistem serta pergerakan sel pengganas, menjadi cabaran paling kritikal masa kini.
“Kita dalam satu bulan (berhadapan) ribuan percubaan serangan. Jadi kita kena perkukuh (pertahanan) dan minggu lepas saya berjumpa dengan pucuk pimpinan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), berbincang untuk memperkukuh unit keselamatan siber di Angkatan Tentera,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada Sesi Temu Anwar Bersama dengan Wira Muda Negara Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0), di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini, hari ini.
Bagi menggambarkan keseriusan ancaman itu, Anwar merujuk insiden gangguan operasi lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, yang berpunca daripada masalah sistem telekomunikasi negara kuasa besar berkenaan.
“Fikirkan Amerika Syarikat dengan segala kecanggihannya tidak dapat kenal pasti apa (punca), tetapi ada serangan kepada sistem telekomunikasi yang menyebabkan it crashed. Kita masih menunggu kepada laporan akhir,” kata beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan corak pertahanan serta perolehan aset negara perlu pantas beradaptasi dengan kecanggihan teknologi moden seperti pengoperasian dron, tanpa mengabaikan aspek pertahanan konvensional.
Menyedari keperluan mendesak bagi memperkasakan kedua-dua dimensi pertahanan berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah melonjakkan peruntukan Kementerian Pertahanan ke tahap tertinggi dalam sejarah, menjadikannya antara kementerian penerima terbesar selain Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata dana besar itu penting, bagi menggantikan pelbagai aset konvensional pasukan keselamatan yang sudah terlalu usang termasuk kapal tentera laut, pesawat udara serta kereta perisai.
“Kerana pesawat usang, kereta kebal rosak, jadi itu semua kita belanjakan. Tetapi dalam soal pembelian ini, kerajaan juga mahu memastikan tiada lagi masalah masa lalu, seperti penggunaan ejen dan komisen tinggi yang menyebabkan ada projek kapal (bernilai) berjuta-juta ringgit terbengkalai,” kata beliau.







