KUALA LUMPUR, 11 NOV: Malaysia melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-27 daripada 70 ekonomi dalam IMD World Digital and AI Ranking (WDAIR) 2026 daripada tangga ke-34 pada tahun lepas, sekali gus muncul sebagai negara kedua terbaik di ASEAN selepas Singapura.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian itu didorong khususnya oleh peningkatan 21 anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI), melonjak 10 anak tangga ke kedudukan ke-28 dari segi kecekapan, dan kedudukan ke-12 bagi pelaksanaan strategi AI nasional.
“Malaysia turut mencatat kedudukan ke-18 bagi pembangunan tenaga kerja, kedua dunia bagi graduan sains, kelima bagi modal teroka, keenam bagi eksport berteknologi tinggi dan kelapan bagi insentif pelaburan AI,” kata Anwar melalui hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 (Negara AI 2030) menyasarkan pewujudan sehingga 300,000 pekerjaan baharu berkaitan AI dan sumbangan tambahan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 1.2 mata peratusan menjelang 2030.
Menurut Anwar, melalui Belanjawan MADANI 2027, sebanyak RM30 juta disediakan menerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerapkan AI dan mengautomasi operasi, melatih serta memperakui 5,000 profesional AI, selain menyediakan tambahan 100,000 langganan AI percuma kepada golongan muda.







