Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan negara hadapi ancaman geopolitik - PM

3 Nov 2026, 3:31 AM
Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan negara hadapi ancaman geopolitik - PM

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Kerajaan akan memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ancaman keselamatan global, termasuk memastikan bekalan makanan, air dan tenaga negara mencukupi serta tidak terganggu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan konflik antarabangsa menunjukkan ancaman keselamatan kini bukan sahaja melibatkan peperangan konvensional, malah merangkumi serangan siber, penyebaran maklumat palsu, sabotaj infrastruktur kritikal serta gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata kerajaan mengambil serius perkembangan itu dan telah mengadakan Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Khas semalam bagi meneliti tahap kesiapsiagaan negara serta keupayaan mekanisme sedia ada dalam menghadapi krisis dan ancaman hibrid.

“Hasil perbincangan tersebut, kerajaan berpandangan bahawa mekanisme pengurusan keselamatan dan krisis negara yang sedia ada perlu terus diperkukuh, khususnya dari segi penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat dan kejelasan peranan setiap pihak.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, tanpa pertindihan tanggungjawab atau kelewatan dalam membuat keputusan,” kata Anwar ketika membentangkan kenyataan berhubung tahap kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi perkembangan konflik geopolitik dan ketegangan keselamatan serantau serta antarabangsa di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society akan terus diberi penekanan kerana kesiapsiagaan menghadapi krisis bukan tanggungjawab satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama kementerian, agensi keselamatan, sektor swasta dan masyarakat.

Justeru, beliau berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada lima aspek utama iaitu memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi melalui peningkatan kerjasama serta perkongsian maklumat serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai ancaman menerusi latihan dan simulasi berkala.

Selain itu, memperkukuh perlindungan infrastruktur dan sektor strategik negara termasuk tenaga, telekomunikasi, pengangkutan, kewangan dan bekalan makanan, serta meningkatkan kesiapsiagaan rakyat melalui program pendidikan, latihan pengurusan krisis dan penyediaan panduan asas kesiapsiagaan isi rumah bagi menghadapi kecemasan.

Usaha itu turut merangkumi pengukuhan keupayaan agensi keselamatan dan pengurusan krisis menerusi pembangunan kepakaran, latihan, pengukuhan aset dan penggunaan teknologi bersesuaian, termasuk meningkatkan keupayaan agensi barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Anwar berkata bagi memastikan langkah berkenaan dilaksanakan dengan segera dan teratur, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mempengerusikan mesyuarat bersama ketua setiausaha dan ketua pengarah esok, termasuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi serta bekalan air dan tenaga tidak terjejas.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.