KRUBONG, 31 OKT: Pengalaman sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri akan dimanfaatkan Datuk Azman Abidin bagi membantu membawa isu dan keperluan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput ke perhatian Kerajaan Persekutuan.
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi itu berkata, hubungan kerja yang dimiliki dengan kepimpinan kerajaan pusat akan digunakan sebaik mungkin bagi memudahkan usaha menyampaikan permasalahan penduduk serta mencari penyelesaian bersesuaian.
“Saya akan gunakan kedudukan saya yang berkhidmat dengan Perdana Menteri serta pengalaman untuk bantu permudahkan segala keperluan di Paya Rumput.
“Saya akan gunakan hubungan saya dan Kerajaan Persekutuan untuk manfaat penduduk di Paya Rumput,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon, hari ini.

Dalam pada itu, Azman menyifatkan pengundi di kawasan berkenaan sebagai kelompok terbuka yang bersedia menerima perubahan, mengambil kira demografi kawasan yang merangkumi kawasan bandar dan separa bandar.
Mengulas persaingan tiga penjuru di kerusi itu, beliau mengakui setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak boleh dipandang mudah.
“Siapa pun calonnya saya lihat mereka ada kekuatan tersendiri dan saya tak boleh nak pandang rendah dengan kebolehan mereka.
“Apa yang penting saya perlu usaha sehabis baik untuk mendekati golongan pengundi,” katanya.
Azman bakal berdepan Rafie Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN) dan Abdul Rashid Abu Bakar yang mewakili Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dalam saingan merebut kerusi DUN Paya Rumput.








