Selangor laksana 50 projek saliran, lembangan sungai, perkukuh keupayaan hadapi risiko banjir

13 Nov 2026, 8:34 AM
Selangor laksana 50 projek saliran, lembangan sungai, perkukuh keupayaan hadapi risiko banjir

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM43.91 juta bagi melaksanakan 50 projek berkaitan sistem saliran, pembangunan dan pengurusan lembangan sungai serta saliran mesra alam menerusi Belanjawan Selangor 2027.

Peruntukan itu merangkumi RM19.38 juta bagi 25 projek sistem saliran, RM17.90 juta untuk 16 projek pembangunan dan pengurusan lembangan sungai serta RM6.63 juta bagi sembilan projek saliran mesra alam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keberkesanan sistem tebatan banjir bergantung pada keupayaan saliran setempat menyalurkan air ke sungai yang mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung aliran berkenaan.

“Kerja pembinaan jalan dan jambatan juga perlu diselaraskan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Di Petaling, misalnya, pembinaan jambatan di Jalan Kubu Gajah dan Gajah 16 mempunyai kaitan dengan pembinaan projek tebatan banjir Sungai Gubang.

“Bagi projek mitigasi banjir di bawah Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE-SMG), Kerajaan Negeri mencadangkan RM25 juta untuk meneruskan kerja meningkatkan kapasiti sungai dan melancarkan aliran air,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Amirudin berkata kemajuan fizikal projek berkenaan kini mencapai 71.43 peratus. Penduduk di kawasan terlibat juga perlu dimaklumkan mengenai baki kerja serta jangkaan tempoh projek itu mula berfungsi untuk melindungi kawasan berkenaan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menambah baik penyampaian amaran bencana antara pusat operasi negeri, daerah dan agensi lapangan, selain memperkukuh pengurusan risiko berasaskan komuniti serta latihan di sekolah bagi membantu penduduk berpindah ketika bencana.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan mengutamakan kawasan berisiko di seluruh lembangan, menilai keberkesanan projek sedia ada serta menyelaraskan usaha tebatan banjir bersama Kerajaan Persekutuan menerusi Selangor Flood Mitigation Plan (SelFMiP).

Pelan Induk Saliran Mesra Alam di Hulu Langat turut menjadi panduan bagi memastikan pembangunan diselaraskan dengan kapasiti sistem saliran sedia ada.

“Di Klang, kolam takungan banjir Sungai Jati bernilai RM26 juta kini berada di peringkat reka bentuk. Kolam itu dirancang untuk menampung sebahagian aliran air ketika hujan lebat dan mengurangkan tekanan terhadap sistem saliran di hilir.

“Inisiatif ini menunjukkan kepentingan merancang ruang untuk air sebelum pembangunan di kawasan sekitarnya dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata Sistem Pengurusan Data Iklim Bersepadu di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) akan menyediakan maklumat untuk kegunaan semua agensi, meliputi 354 kawasan berisiko sebagai sebahagian daripada agenda prasarana tebatan banjir negeri.

Sistem itu akan mengintegrasikan data hidrologi, bencana dan spatial bagi menyokong pengeluaran amaran banjir serta membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) menilai tapak pembangunan, mengenal pasti keperluan takungan dan memelihara laluan air.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.