Selangor percepat kelulusan 56 projek mitigasi, tebatan banjir

13 Nov 2026, 7:40 AM
Selangor percepat kelulusan 56 projek mitigasi, tebatan banjir
Selangor percepat kelulusan 56 projek mitigasi, tebatan banjir

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan menyediakan laluan hijau bagi mempercepat kelulusan projek mitigasi dan tebatan banjir, termasuk memperkemas semakan teknikal serta penyelarasan antara agensi berkaitan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu membolehkan projek dikenal pasti dilaksanakan lebih pantas tanpa mengetepikan syarat keselamatan, alam sekitar dan tatacara perolehan.

Menurutnya, sebanyak 56 projek mitigasi dan tebatan banjir dikenal pasti untuk dilaksanakan tahun hadapan bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

“Saya berpandangan dengan memulakan reka bentuk lebih awal, kita boleh mengenal pasti keperluan tanah, utiliti dan kelulusan teknikal sebelum kontrak pembinaan ditawarkan.

“Apabila tiba masa untuk melantik kontraktor, skop kerja dan keperluan tapak sudah lebih jelas. Dengan cara itu, tempoh selepas kontrak dianugerahkan dapat digunakan untuk menggerakkan kerja di tapak.

“Saya akan mengetuai sendiri, meneliti setiap bulan dan setiap minggu, untuk memastikan Selangor bebas banjir dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Amirudin berkata Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu mengutamakan projek yang mampu menyelesaikan masalah banjir, merangkumi pembinaan pembetung dan saliran di bawah seliaan PBT hingga jambatan serta kerja tebatan sungai.

Menurutnya, semakan teknikal yang boleh dilakukan secara serentak perlu dimulakan lebih awal, manakala isu yang membabitkan beberapa agensi perlu segera dibawa kepada pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikannya.

“Setiap projek tetap perlu memenuhi syarat keselamatan, alam sekitar dan tatacara perolehan. Pengalaman Belanda memberi kita satu pedoman tentang perkara yang boleh dipercepat.

“Antara inisiatif mereka adalah menggabungkan benteng dan struktur kawalan air dengan perancangan yang memberi ruang kepada sungai untuk melimpah dengan lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan menyediakan papan pemuka awam yang memaparkan lokasi projek, agensi pelaksana serta status setiap fasa pelaksanaan, bermula daripada pelantikan perunding reka bentuk hingga pelantikan kontraktor dan kemajuan kerja di tapak.

Katanya, menjelang musim tengkujuh, maklumat mengenai lokasi berisiko banjir turut dikemas kini bagi membolehkan penduduk mengetahui projek berkaitan, pelantikan yang telah dibuat serta kerja yang dijangka dilaksanakan.

Amirudin berkata kepentingan pelaburan dalam daya tahan iklim turut ditekankan Bank Dunia menerusi kajian Jobs in a Changing Climate yang mengaitkan usaha berkenaan dengan keupayaan kerajaan melindungi pekerjaan dan mengurangkan kerugian ekonomi.

“Sesungguhnya kita boleh melihat perkaitan ini dengan jelas di Selangor. Tatkala jalan tersekat, pekerja kerugian masa dan kehilangan pendapatan.

“Ketika premis perniagaan ditenggelami air, pemiliknya menanggung kerugian stok dan beban kos untuk memulakan semula perniagaan. Tatkala bekalan air terputus, isi rumah dan industri sama-sama menanggung akibatnya,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Impak Khas Banjir 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bencana banjir yang melanda Selangor pada hujung 2021 hingga awal 2022 mengakibatkan kerugian kira-kira RM3.1 bilion, membabitkan kerosakan kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan sektor pembuatan.

“Daerah Klang merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM1.2 bilion, diikuti Petaling (RM1.1 bilion) dan Hulu Langat (RM400 juta). Kerugian turut membabitkan sektor perniagaan sebanyak RM396.4 juta, manakala sektor pembuatan mencatatkan kerugian RM884.5 juta.

“Jabatan Perangkaan turut merekodkan kerugian akibat banjir sebanyak RM52.9 juta di Selangor pada 2025, menunjukkan kesan ekonomi bencana itu masih ditanggung pada tahun-tahun berikutnya,” katanya.

Katanya, kesan ekonomi akibat banjir tidak terhenti selepas air surut apabila peniaga perlu menanggung kos menggantikan stok serta kehilangan jualan sepanjang premis ditutup, manakala pekerja bergaji harian kehilangan pendapatan apabila tempat kerja tidak dapat beroperasi.

Justeru, daya tahan iklim perlu dijadikan pertimbangan utama dalam setiap keputusan pembangunan dan ekonomi negeri bagi mengurangkan risiko kerugian serta melindungi kesejahteraan rakyat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.