Selangor perkasa pendidikan STEM, perkenal pertukaran pelajar ke Jepun

13 Nov 2026, 9:38 AM
Selangor perkasa pendidikan STEM, perkenal pertukaran pelajar ke Jepun

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Pemantapan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sepanjang 2027 bagi meningkatkan mutu pendidikan bernilai tinggi di Selangor.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata sebagai sebuah negeri maju, Selangor kini perlu beralih daripada sekadar menyediakan akses pendidikan kepada usaha memastikan kualitinya mencapai standard dunia.

"Dengan adanya pendidikan yang berkualiti tinggi, dibantu oleh golongan pendidik yang lebih cekap, saya yakin kita dapat melahirkan anak-anak Selangor yang bukan sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi berdaya saing di persada dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan memperkukuh Program Pemberdayaan Pendidikan dan Pembangunan Guru bagi menyokong warga pendidik di seluruh Selangor.

Usaha meningkatkan pembangunan murid di dalam dan luar bilik darjah turut dipergiat menerusi Program Pembangunan Karakter Murid serta Program Kecemerlangan Sukan dan Kokurikulum sepanjang tahun hadapan.

Selain itu, Kerajaan Negeri buat julung kalinya memperkenalkan Program Pertukaran Pelajar Cemerlang (Student Exchange Programme) ke Jepun yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga 200 pelajar dari sekolah seluruh Selangor.

"Inisiatif ini dilaksanakan agar mereka lebih terdedah kepada perbezaan dunia luar dan lebih yakin untuk bersaing serta bertukar pengalaman dengan masyarakat yang berbeza latar belakang," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.