MELAKA, 13 NOV: Populariti ahli politik di media sosial belum tentu menjamin kemenangan mereka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kata penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.
Sebaliknya persoalan sebenar adalah sejauh mana faktor populariti mereka itu mampu untuk diterjemahkan ke peti undi menjelang hari pengundian esok.
“PRN Melaka bukan soal siapa lebih popular di media sosial tetapi pertandingan siapa lebih berjaya menguasai emosi pengundi, meyakinkan pengundi atas pagar dan akhirnya menterjemahkan sentimen kepada undi sebenar.
“Kita perlu bezakan sentimen yang kuat di lapangan dan digital. Populariti di media sosial tidak semestinya diterjemahkan kepada undi. Persoalannya siapa yang berjaya tukarkan perhatian digital ke sokongan peti undi,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Berdasarkan pemerhatian beliau, gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (BN-PN) kali ini dilihat berjaya membawa naratif penyatuan Melayu Islam selain pergerakan jentera parti yang lebih tersusun sekaligus meletakkan mereka berada di momentum hadapan.
Bagaimanapun, Pakatan Harapan (HARAPAN) pula dilihat lebih terarah kepada isu seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, elemen rasuah, serta soal kebajikan rakyat.
Meskipun tampil dengan pendekatan yang berbeza namun apa yang lebih mencabar adalah kedudukan mereka di pusat yang ketika ini saling berkongsi kuasa.
“Di peringkat negeri, pengundi sebenarnya lebih dekat dengan isu kos sara hidup, perumahan, banjir, kesesakan jalan, pembangunan setempat.
“BN-PN menggunakan modal kestabilan, kesinambungan pentadbiran dan penyatuan politik Melayu manakala PH pula bawa naratif reformasi, tadbir urus dan pencapaian kerajaan persekutuan.
“Mereka juga berkongsi kerajaan di peringkat pusat jadi pengundi mahu lihat apa nilai tambah yang boleh diberikan kepada Melaka dan bukan sekadar pertarungan slogan,” jelasnya lagi.
Kehadiran BN-PN dalam mencipta gabungan kali ini sedikit sebanyak mengundang cabaran kepada HARAPAN khususnya untuk mengekalkan lima kerusi yang dikuasai mereka pada 2021 lalu.
Bagaimanapun HARAPAN juga mempunyai beberapa kerusi berpotensi dan perlu dipertahankan agar mampu menjadi sebagai alternatif kerajaan negeri.
“Bukit Katil dan Ayer Keroh (HARAPAN) misalnya perlu diberikan perhatian kerana berdepan tekanan BN-PN namun PH juga berpotensi memberikan saingan di Machap Jaya dan Klebang.
“PRN Ini mungkin ditentukan oleh kerusi marginal, bukan gelombang besar. Peralihan beberapa kerusi sahaja boleh mempengaruhi pola pengundian politik kenegerian di Melaka,” katanya lagi.
HARAPAN menempatkan seramai 24 orang calon yang akan bertanding merebut hati pengundi di Melaka.
Berdasarkan data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hampir 700,000 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN Melaka kali ini.








