KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia menggubal peraturan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 bagi membolehkan pengguna mengetahui sumber pusat penyembelihan serta status pensijilan halal bekalan ayam di pasaran.
Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu adalah antara usaha memperkukuh perlindungan pengguna Islam, susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh ahli parlimen berhubung pemantauan dan ketelusan status halal bekalan ayam.
Beliau berkata KPDN turut bersetuju dengan saranan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) supaya tanggungjawab memastikan integriti rantaian bekalan halal tidak hanya tertumpu pada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama negeri, sebaliknya turut melibatkan KPDN dari aspek penguatkuasaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam pemantauan premis.
“Sehubungan dengan itu, KPDN akan mengusulkan penyelarasan bersama-sama pihak berkuasa agama negeri, PBT dan Kementerian Kesihatan bagi memperkemas pemantauan premis penyembelihan serta penjualan ayam,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KPDN.
Sementara itu, berhubung cadangan mengehadkan kelayakan pembelian minyak masak peket kepada penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Armizan berkata cadangan itu baik, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan kesan kepada peniaga kecil termasuk peniaga pasar malam.
Kerajaan, katanya, perlu menstabilkan terlebih dahulu pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan petrol sebelum mempertimbangkan pembaharuan lebih menyeluruh terhadap subsidi barangan lain.
Berkenaan sistem Electronic Cooking Oil Price Stabilisation Scheme (eCOSS) pula, Armizan berkata sistem itu membolehkan kerajaan memperoleh data lebih menyeluruh mengenai jumlah bekalan, penjualan dan pembelian minyak masak peket, sekali gus membantu menentukan pengurangan kuota serta penyasaran subsidi berdasarkan data.
“eCOSS diperkenalkan pada Mei 2023 bagi memantau pengedaran minyak masak peket bersubsidi daripada peringkat pembungkus semula, pemborong sehingga peruncit, sebelum disusuli dengan aplikasi Mobile eCOSS bagi merekodkan maklumat pembelian pengguna melalui imbasan kod QR,” katanya.
Terdahulu, ketika sesi perbahasan, beberapa ahli parlimen membangkitkan isu penguatkuasaan terhadap premis penyembelihan ayam yang diragui status halalnya susulan serbuan sebuah gudang penyembelihan ayam di Puchong baru-baru ini, yang membawa kepada rampasan lebih 6.5 tan ayam mentah dan penahanan 12 pekerja asing.
Antaranya, Idris yang menegaskan bahawa isu itu tidak seharusnya dilihat dari sudut politik, sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana boleh menjejaskan keyakinan pengguna terhadap status halal produk makanan di negara ini.
Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) pula mencadangkan agar kementerian mempertimbangkan pemberian permit jualan petrol dan diesel BUDI MADANI kepada kedai runcit terpilih di kawasan terpencil, selain menyediakan terminal pengesahan MyKad bagi membolehkan penduduk yang layak, menikmati subsidi tanpa menjejaskan kawalan terhadap ketirisan.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan KPDN berjumlah RM2,366,037,400 bagi 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahaskan 17 ahli parlimen.







