KPDN Selangor lupus pelbagai barangan sitaan RM3.28 juta, tembakau paling tinggi

12 Nov 2026, 8:45 AM
KPDN Selangor lupus pelbagai barangan sitaan RM3.28 juta, tembakau paling tinggi

SHAH ALAM, 12 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor melupuskan pelbagai barangan sitaan bernilai RM3.28 juta dengan produk tembakau kunyah mencatatkan nilai tertinggi, hampir RM2.64 juta.

Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa'ari berkata, pelupusan itu membabitkan barangan hasil tindakan penguatkuasaan terhadap pelbagai pelanggaran undang-undang perdagangan domestik.

“Antara nilai sitaan paling signifikan ialah kes membabitkan produk tembakau tanpa asap (tembakau kunyah) sebanyak 647 bungkusan dengan nilai sitaan RM2,639,760.

“Selain itu, ia turut membabitkan produk sabun pencuci yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah bernilai RM213,750, serta pelbagai barangan lain berkaitan pelanggaran cap dagangan dan ketidakpatuhan perundangan perdagangan,” katanya.

Menurutnya, antara barangan lain yang dilupuskan termasuk produk penjagaan diri, makanan dan minuman, alat ganti serta aksesori kenderaan selain barangan fesyen berjenama.

Beliau berkata, Program Pelupusan Ekshibit KPDN Selangor Tahun 2026 itu berlangsung di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Selangor, Bukit Raja, Klang, semalam, lapor Harian Metro.

“Pelaksanaan pelupusan ini bukan sekadar proses pengurusan fizikal barangan sitaan, malah sebahagian daripada rantaian pengurusan ekshibit yang penting. Ini bagi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti, ketelusan dan integriti,” katanya.

Muhamad Hanif berkata, kaedah pelupusan termasuk pemusnahan mekanikal, kitar semula sisa atau kaedah lain yang mengambil kira piawaian dan keperluan Jabatan Alam Sekitar, selain taklimat keselamatan kepada pegawai terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, 107,233 premis diperiksa di seluruh Selangor sehingga Oktober tahun ini dengan 2,239 tindakan kes direkodkan, merangkumi 1,878 kes kompaun serta-merta dan 361 kes sitaan.

Nilai rampasan keseluruhan mencecah RM11.42 juta, manakala nilai kompaun dan denda mahkamah masing-masing berjumlah RM1.55 juta serta RM826,686.

Katanya, KPDN Selangor akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan cap dagangan, penjualan barangan tiruan dan amalan perdagangan yang mengelirukan pengguna. Orang ramai boleh membuat aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.