KPDN Selangor rekod rampasan RM11.4 juta setakat Oktober

11 Nov 2026, 1:26 PM
KPDN Selangor rekod rampasan RM11.4 juta setakat Oktober

SHAH ALAM, 11 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merekodkan nilai rampasan berjumlah RM11.4 juta menerusi pemantauan serta tindakan penguatkuasaan berterusan tahun ini setakat Oktober lepas.

Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata bagi tempoh sama, pihaknya turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM1.54 juta melibatkan 2,028 kompaun serta-merta (KOTS) dan kompaun biasa selain mencatatkan sebanyak RM826,686 denda mahkamah.

“Selain itu, sebanyak 107,233 premis telah diperiksa di seluruh Negeri Selangor... daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,239 tindakan kes di bawah pelbagai akta telah direkodkan merangkumi 1,878 kes KOTS dan 361 kes sitaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut melupuskan barang sitaan berjumlah RM3.28 juta antaranya melibatkan sabun pencuci menggunakan logo halal tidak sah, produk tembakau tanpa asap, produk dengan cap dagangan tidak berdaftar dan barangan yang tidak mematuhi perundangan perdagangan.

Muhamad Hanif berkata antara yang mencatatkan nilai sitaan tertinggi ialah produk tembakau tanpa asap pada RM2.63 juta diikuti kes produk sabun pencuci yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, dengan nilai sitaan berjumlah RM213,750.

“Pencapaian ini menggambarkan kesungguhan dan komitmen berterusan KPDN Selangor dalam memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, menangani ketidakpatuhan dalam aktiviti perdagangan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang melanggar peruntukan undang-undang.

“KPDN Selangor menyeru orang ramai agar sentiasa menjadi pengguna yang bijak dan prihatin dengan menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan salah laku perdagangan, aktiviti penjualan barangan tiruan, pencatutan harga serta pelanggaran undang-undang kepenggunaan melalui saluran rasmi KPDN,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.