HULU SELANGOR, 10 NOV: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lelaki warga asing yang hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Luit berdekatan Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Baharu di sini, diteruskan terutama di Empangan Sungai Selangor.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pencarian di permukaan dibuat dengan bantuan lampu limpah dan dron serta empat bot.
“Lampu limpah berkenaan akan dihidupkan selama 30 minit hingga sejam sebelum dipadamkan selama sejam dengan kaedah itu diulang sepanjang operasi pencarian pada sebelah malam,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, lapan individu masing-masing seorang warga tempatan, Yaman, Sri Lanka, Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.
Lima mangsa ditemukan lemas pagi tadi terdiri daripada warga tempatan V. Vijayan, 36, warga Nepal yang dikenali sebagai Kapali, 49, dan B. Kunjanmalayil, 35, warga India manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti ialah lelaki warga India dan Sri Lanka.







