Kepala air: JBPM nasihat tangguh aktiviti rekreasi di tiga sungai Hulu Selangor

11 Nov 2026, 9:51 AM
Kepala air: JBPM nasihat tangguh aktiviti rekreasi di tiga sungai Hulu Selangor

SHAH ALAM, 11 NOV: Tiga sungai di Hulu Selangor dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlaku kejadian kepala air susulan rekod beberapa insiden di kawasan berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengenal pasti Sungai Batang Kali, Sungai Chiling dan Sungai Pertak sebagai tiga lokasi 'hotspot' yang perlu diberi perhatian.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata Sungai Batang Kali merekodkan empat kejadian kepala air, diikuti Sungai Chiling (tiga kejadian) dan Sungai Pertak (dua kejadian).

Menurutnya, kejadian di Sungai Pertak pada Isnin lalu mengorbankan lima nyawa, manakala tiga lagi mangsa masih hilang.

“Berdasarkan maklumat JBPM, sebanyak 14 sungai dikenal pasti berisiko berlaku kejadian kepala air di daerah Hulu Selangor.

“Daripada jumlah itu, tiga lokasi dikenal pasti sebagai 'hotspot' berikutan kekerapan insiden kepala air yang berlaku,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Operasi mencari dan menyelamat tiga lelaki warga asing yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Baharu diteruskan pagi 11 November 2026. Foto Facebook BERNAMA

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara aktiviti rekreasi air, termasuk mandi-manda dan berkelah di kawasan sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Orang ramai turut dinasihatkan sentiasa peka dengan keadaan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa, khususnya ketika melakukan aktiviti berhampiran sungai,” katanya.

Sebelum ini, JBPM turut mengingatkan orang ramai supaya menangguhkan aktiviti rekreasi air seperti mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Dalam kenyataan, JBPM memaklumkan cuaca tidak menentu serta hujan lebat berterusan berpotensi menyebabkan paras air meningkat secara mendadak, arus deras dan fenomena kepala air yang boleh mengancam keselamatan serta meragut nyawa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.