Serangan siber berisiko jejas ekonomi, keyakinan rakyat

12 Nov 2026, 12:00 PM
Serangan siber berisiko jejas ekonomi, keyakinan rakyat
Serangan siber berisiko jejas ekonomi, keyakinan rakyat
Serangan siber berisiko jejas ekonomi, keyakinan rakyat

SHAH ALAM, 12 NOV: Serangan siber bukan lagi sekadar ancaman terhadap sistem teknologi maklumat, sebaliknya berisiko menjejaskan aktiviti ekonomi dan keyakinan rakyat terhadap ekosistem digital negara.

Pakar keselamatan siber, Ts Dr Norkhushaini Awang berkata ancaman itu semakin membimbangkan apabila sektor kewangan turut menjadi sasaran penggodaman, termasuk insiden membabitkan beberapa institusi kewangan tempatan baru-baru ini.

Menurutnya, kegiatan penggodaman kini tidak lagi tertumpu kepada laman sesawang, sebaliknya turut menyasarkan maklumat peribadi dan sistem operasi organisasi.

“Jika dahulu penceroboh lebih gemar menggodam laman sesawang, kini mereka turut menyasarkan maklumat peribadi, penipuan kewangan, serangan perisian tebusan (ransomware) dan sistem operasi sesebuah organisasi.

“Apa yang membimbangkan, serangan siber bukan hanya menyasarkan sistem komputer, tetapi boleh melibatkan keseluruhan operasi organisasi sehingga menyebabkan kerugian,” katanya kepada Media Selangor.

Pakar keselamatan siber, Ts Dr Norkhushaini Awang.

Beliau yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjelaskan serangan terhadap institusi kewangan bukan sahaja boleh mengganggu urusan transaksi, malah berpotensi menjejaskan reputasi organisasi terbabit.

Tahap ancaman sederhana bukan petanda krisis

Bagaimanapun, Norkhushaini mengingatkan orang ramai supaya membezakan antara serangan siber, kebocoran data dan penipuan dalam talian kerana ketiga-tiganya tidak semestinya berpunca daripada insiden sama.

“Malaysia sebenarnya mempunyai asas kesiapsiagaan keselamatan siber yang baik, namun keupayaan mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap serangan perlu terus dipertingkatkan.

“Sebagai contoh, peningkatan tahap ancaman siber negara daripada rendah kepada sederhana pada 4 November lalu menunjukkan langkah berjaga-jaga dan pemantauan berterusan yang dilaksanakan pihak berkuasa.

“Namun, ia tidak bermaksud negara sedang berdepan krisis serangan siber,” katanya.

Pada 6 November lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengingatkan institusi kewangan supaya terus memperkukuh pertahanan keselamatan siber serta meningkatkan keupayaan mengesan dan membendung ancaman bagi memastikan keyakinan dan kestabilan sistem kewangan terpelihara.

Serangan siber berpotensi mengganggu operasi infrastruktur digital dan sektor penting negara, sekali gus menjejaskan aktiviti ekonomi serta keyakinan rakyat. Gambar hiasan janaan AI

Gabenornya, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata keperluan kawal selia turut ditetapkan bagi memastikan institusi kewangan mempunyai perlindungan keselamatan siber mencukupi.

Sehari kemudian, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan situasi keselamatan siber negara kekal terkawal dengan tahap ancaman berada pada paras sederhana meskipun terdapat insiden keselamatan siber dan gangguan sistem membabitkan beberapa institusi kewangan.

Malah, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menerusi Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) turut melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan sebarang ancaman dapat dikesan dan ditangani segera.

Kawalan akses lemah tingkat risiko kebocoran data

Mengulas lanjut, Norkhushaini berkata sektor perbankan dan kewangan perlu memberi perhatian terhadap pengurusan maklumat pelanggan, khususnya berkaitan kawalan akses serta penyimpanan data.

Menurutnya, risiko kebocoran maklumat masih wujud sekiranya terlalu ramai kakitangan diberikan akses kepada data pelanggan, selain penggunaan sistem yang tidak dikemas kini dan penyimpanan maklumat berlebihan.

“Apabila mendaftar sesuatu perkhidmatan, kita mungkin diminta memberikan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon.

Penggunaan kata laluan yang panjang, kuat dan unik bagi setiap akaun penting dapat mengurangkan risiko pencerobohan serta penyalahgunaan maklumat peribadi. Foto BERNAMA

“Persoalannya, adakah semua maklumat itu benar-benar diperlukan dan berapa lama ia disimpan dalam pangkalan data selepas urusan selesai?

“Organisasi sepatutnya mengamalkan prinsip pengurangan data dengan hanya mengumpulkan maklumat yang diperlukan bagi tujuan tertentu,” katanya.

Kata laluan unik bantu lindungi akaun

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna supaya tidak menggunakan kata laluan sama bagi pelbagai akaun kerana tindakan tersebut boleh memudahkan penjenayah mengakses akaun lain sekiranya satu akaun berjaya diceroboh.

Tambahnya, gabungan maklumat peribadi seperti nama dan nombor telefon juga boleh disalahgunakan untuk menghasilkan panggilan penipuan yang kelihatan meyakinkan.

“Amalkan langkah keselamatan asas bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah siber. Antaranya gunakan kata laluan panjang, kuat dan unik bagi setiap akaun penting.

“Pengguna juga perlu mengelakkan pautan mencurigakan yang diterima menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), WhatsApp atau e-mel, selain mendapatkan pengesahan terus melalui aplikasi dan saluran rasmi bank,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mangsa penipuan kewangan dalam talian supaya segera menghubungi bank dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 serta membuat laporan polis.

“Jangan tunggu sehingga keesokan hari kerana tindakan pantas penting bagi mengurangkan risiko kerugian,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.