Malaysia Airlines dedah insiden siber, maklumat pelanggan mungkin terjejas

1 Nov 2026, 7:03 AM
Malaysia Airlines dedah insiden siber, maklumat pelanggan mungkin terjejas

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Malaysia Airlines Bhd (MAB) memaklumkan maklumat sebahagian pelanggannya mungkin terjejas susulan insiden keselamatan siber melibatkan Amadeus, penyedia teknologi tempahan penerbangan pihak ketiga syarikat penerbangan itu.

“Insiden itu mungkin menjejaskan maklumat pelanggan tertentu yang diproses melalui Amadeus antara Ogos 2023 hingga September 2026,” menurut kenyataan MAB yang disiarkan di laman webnya pada Sabtu (31 Oktober).

Bagaimanapun, syarikat penerbangan nasional itu memberi jaminan bahawa sistem teknologi maklumat miliknya tidak terjejas, dan setakat ini tiada bukti yang menunjukkan maklumat kewangan telah diakses.

“Kami memandang serius perkara ini dan sedang bekerjasama rapat dengan Amadeus dan pihak berkaitan untuk menyiasat insiden berkenaan dan menilai kesannya.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, kami menggalakkan pelanggan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang komunikasi yang mencurigakan atau tidak diminta, terutama yang mahukan maklumat peribadi atau kewangan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MAB privasi dan perlindungan maklumat pelanggan kekal menjadi keutamaan dan pihaknya akan berkongsi perkembangan selanjutnya sekiranya mendapat maklumat yang lebih terperinci.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.