Perkhidmatan TH pulih selepas serangan siber, simpanan pendeposit selamat

12 Okt 2026, 4:55 AM
Perkhidmatan TH pulih selepas serangan siber, simpanan pendeposit selamat

SHAH ALAM, 12 OKT: Semua cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) kembali beroperasi seperti biasa hari ini selepas pemeriksaan keselamatan dan kerja pemulihan sistem dilaksanakan susulan serangan siber pada 8 Oktober lalu.

TH memaklumkan perkhidmatan utamanya turut dipulihkan selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh dan langkah pengukuhan kawalan sistem selesai dilaksanakan.

Menurutnya, cawangan di Kedah, Terengganu dan Kelantan sudah dibuka semula sejak semalam, manakala cawangan di negeri lain memulakan operasi hari ini.

“Perkhidmatan melalui bank-bank rakan strategik TH juga telah kembali aktif,” menurut kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, TH memaklumkan tiga fungsi aplikasi THiJARI masih belum dapat digunakan, iaitu penetapan semula kata laluan, pendaftaran pengguna baharu dan pembukaan akaun secara dalam talian.

Menurutnya, fungsi lain aplikasi berkenaan sudah kembali beroperasi, manakala tiga perkhidmatan yang masih tergendala memerlukan kerja pemulihan lanjut.

TH memberi jaminan simpanan pendeposit kekal selamat dan langkah pemantauan serta pengukuhan keselamatan sistem akan diteruskan.

“TH memberi jaminan bahawa simpanan pendeposit adalah selamat,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, TH menghentikan sementara operasi sistem dan perkhidmatan di semua saluran pada 8 Oktober bagi melindungi simpanan serta maklumat peribadi pendeposit susulan serangan siber terhadap sistemnya.

Sejak kejadian itu, TH bekerjasama dengan pakar luar dan pihak berkuasa keselamatan siber negara bagi menyiasat insiden serta memulihkan sistem yang terjejas.

TH turut membuat laporan polis dan memaklumkan kejadian kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Pendeposit yang mengesan transaksi mencurigakan atau sebarang perkara luar biasa pada akaun masing-masing diminta segera menghubungi TH.

Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh disalurkan kepada Pusat Perhubungan TH di talian 03-6207 1919.

TH turut memohon maaf atas gangguan perkhidmatan dan memberi jaminan keselamatan simpanan serta kepentingan pendeposit kekal menjadi keutamaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.