SHAH ALAM, 20 JULAI: Polis Selangor sudah mengambil keterangan daripada 90 individu berhubung penganjuran program eHATI.
Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan berkata individu yang diambil keterangan melibatkan fasilitator, peserta dan kakitangan syarikat berkenaan.
"Polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk ritual bertentangan dengan syarak," katanya hari ini, lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, peguam pengasas syarikat motivasi berkenaan, Datuk M Reza Hassan berkata anak guamnya kini dalam siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Anak guam sudah dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin. Namun mereka kini dalam siasatan Jais semalam selepas dibebaskan dengan jaminan," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial program motivasi diadakan khas untuk peserta wanita di IDCC yang didakwa melibatkan perlakuan tidak senonoh dipercayai berlaku pada September tahun lalu.
Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil dalam kenyataannya memohon pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan terhadap program berkenaan yang didakwa mengandungi unsur penyelewengan agama dan moral.
Susulan siasatan, polis mengesahkan wujud adegan bogel dalam program tersebut yang melibatkan kira-kira empat individu.
Siasatan mendapati adegan itu merupakan sebahagian daripada acara program yang dikenali sebagai 'Rebirth' kononnya untuk menaikkan motivasi diri.