Tragedi kepala air Sungai Pertak: Pencarian mangsa diteruskan hingga Empangan Sungai Selangor

10 Nov 2026, 7:25 AM
Tragedi kepala air Sungai Pertak: Pencarian mangsa diteruskan hingga Empangan Sungai Selangor
Tragedi kepala air Sungai Pertak: Pencarian mangsa diteruskan hingga Empangan Sungai Selangor

HULU SELANGOR, 10 NOV: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang hilang dalam insiden kepala air di Lata Jebus, Air Terjun Sungai Pertak di Kampung Pertak di sini, diteruskan hingga ke Empangan Sungai Selangor, kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pencarian tertumpu di sepanjang aliran Sungai Luit dari Lata Jebus menuju ke empangan berkenaan.

“Pencarian diperluaskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, meliputi jarak kira-kira tiga km sepanjang Sungai Luit dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata mangsa pertama V. Vijayan, 36, ditemukan pada 1.30 pagi tadi di kawasan Jambatan Pertak kira-kira 2.7 km dari lokasi dia dihanyutkan arus dan telah dibawa keluar.

Empat lagi mangsa ditemukan pada 10.12 pagi ini di sekitar kawasan jambatan Senget dan Jambatan Gantung iaitu kira-kira satu km dari Lata Jebus, namun identiti serta kewarganegaraan mereka belum dikenal pasti.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, lapan individu masing-masing seorang warga tempatan, Yaman, Sri Lanka, Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati sebuah lori polis yang membawa empat mayat mangsa kejadian meninggalkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) kira-kira 12 tengah hari tadi.

Kesemua mayat difahamkan dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.

Sementara itu, ahli keluarga Vijayan, B. Partiban, 27, berkata mangsa pergi ke kawasan air terjun itu bersama rakan-rakannya yang merupakan warga asing, manakala dia yang turut ke sana tiba lewat berbanding Vijayan.

“Kejadian kepala air berlaku secara tiba-tiba dengan membawa kayu balak dan batu besar kira-kira 5.30 petang. Arus kuat dan tinggi dan pada waktu itu kami hanya mampu berdiri dan melihat arus mengalir deras,” katanya.

Partiban berkata beliau bersama tiga rakannya sempat menyelamatkan diri selepas keluar lebih awal dari kawasan sungai sebelum paras air meningkat mendadak, namun tidak menyedari Vijayan dihanyutkan arus.

Sementara itu, seorang pelajar warga Yaman, Muhammad, 19, yang terselamat dalam kejadian itu berkata dia ke sungai itu bersama lima rakan dan cuaca dalam keadaan baik serta tiada tanda awal berlakunya kepala air, sebelum tiga daripada mereka ke tebing sungai dan dihanyutkan arus mengakibatkan seorang masih hilang dan belum diketahui statusnya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.