Ekonomi meningkat, kos sara hidup rakyat mesti ditangani – Anwar

24 Okt 2026, 10:45 AM
Ekonomi meningkat, kos sara hidup rakyat mesti ditangani – Anwar

MELAKA, 24 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan prestasi ekonomi negara yang positif turut diterjemahkan kepada penyelesaian masalah rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun kerajaan boleh berbangga dengan prestasi ekonomi yang semakin meningkat, keperluan dan beban kewangan rakyat tidak boleh diabaikan.

“Kita bangga bila ekonomi melonjak tetapi kita harus juga santuni apakah ekonomi yang melonjak itu dapat selesaikan masalah rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sentuhan MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong di sini hari ini.

Anwar berkata NCLAP30 akan memandu usaha menangani kos sara hidup secara menyeluruh dan bersepadu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut memuji KPDN yang proaktif membantu rakyat menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), yang dilaksanakan secara berkala di kawasan bandar dan luar bandar bagi membolehkan masyarakat mendapatkan barangan pada harga lebih rendah.

“KPDN ini adalah di antara kementerian (yang) saya bangga kerana pelan dan strateginya itu untuk menyantuni rakyat dan sentiasa ada di bawah setiap kampung, setiap daerah di bandar, desa dan hulu masih ada (PJRM),” katanya.

NCLAP30 yang dilancarkan hari ini merupakan kerangka tindakan nasional bagi tempoh lima tahun yang memandu usaha pengurusan kos sara hidup secara menyeluruh dan bersepadu dalam memperkukuh sara hidup rakyat.

Ia mempunyai dua misi iaitu meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat dan menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan asas dengan memfokuskan kepada lapan kluster strategik iaitu pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan umum.

Sebanyak 35 strategi dan 429 ikhtiar sara hidup meliputi penerusan dan penambahbaikan inisiatif sedia ada serta pengenalan program baharu yang digerakkan merentasi pelbagai kementerian dan agensi termasuk melalui kerjasama rakan-rakan strategik.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.